Aplikasi cukai perlu selari dengan prinsip asas zakat

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَفِيْٓ اَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّاۤىِٕلِ وَالْمَحْرُوْمِ

“Dan pada harta benda mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta.”

(Az-Zaariyat: 19)

Islam adalah agama yang menitikberatkan konsep berkebajikan. Ianya bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang harmonis, prihatin dan hidup dalam keadaan rukun dan sejahtera.

Dalam merealisasikan perkara ini, Islam telah memfardukan zakat ke atas golongan yang kaya untuk diserahkan kepada golongan yang layak menerimanya (asnaf zakat).

Zakat merupakan kadar tertentu yang wajib dikeluarkan daripada harta tertentu mengikut syaratnya.

Kefarduan zakat ini adalah bertujuan menjaga kebajikan golongan yang tidak bernasib baik di samping menyucikan harta pemiliknya.

Ia juga bertujuan mewujudkan ikatan kafaalah (prihatin terhadap kebajikan anggota masyarakat Muslim).

Zakat hanya dikenakan kepada golongan yang memiliki harta mengikut syarat dan kadarnya sahaja.

Ianya diambil daripada golongan kaya (berharta) dan diserahkan kepada golongan fakir miskin (asnaf).

Konsep asas kefarduan zakat ini juga merupakan asas kepada sistem percukaian di dalam Islam.

Sebagai contoh pada zaman Khalifah Sayyidina Umar bin Al-Khattab R.A, banyak cukai telah diperkenalkan antaranya cukai tanah (kharaj).

Prinsipnya tetap sama, ianya hanya dikenakan ke atas orang yang cukup syarat sahaja. 

Cukai tidak dikenakan kepada umum yang meliputi seluruh anggota masyarakat, apatah lagi jika ianya dikenakan ke atas barangan keperluan harian pastinya ia akan menambahkan lagi bebanan dan himpitan kepada rakyat.

Justeru bagi memastikan sistem muamalat dan ekonomi berkebajikan dapat dilaksanakan, konsep asas kefarduan zakat ini perlu direalisasikan dalam pelaksanaan percukaian iaitu ianya hanya dikenakan kepada golongan sasar sahaja. 

Diambil daripada golongan yang berharta (kaya) dan diserahkan kepada golongan yang memerlukan (fakir miskin). 

Semoga falsafah cukai dalam Islam dapat difahami dengan mendalam bagi memastikan kebajikan dan keadilan untuk semua dapat direalisasikan.

Maka PAS Johor menyokong penuh gesaan Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS supaya pelaksanaan semula GST mestilah mengambil kira tanggungjawab kerajaan meringankan kesusahan hidup rakyat yang semakin terhimpit. 

Siiruu ‘Alaa Barokatillah.

Islam Menyatukan Ummah”

Al-Faqiiru IlalLah,
ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan 
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -