Hidup mesti bertanggungjawab melestarikan bumi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hidup di bumi mestilah bertanggungjawab secara kolektif untuk melestarikannya.

Ini, menurutnya demi keperluan hari ini dan generasi masa hadapan.

Beliau menyatakan demikian dalam hantaran menerusi laman sosialnya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, hari ini.

- Advertisement -

“Hari yang penting ini mula disambut seawal 1972 dan kemudian menjadi sambutan utama dan signifikan seluruh dunia dengan pembabitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.

Tambahnya, objektif utama sambutan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menggerakkan usaha solidariti masyarakat dunia terhadap kepentingan melestarikan alam sekitar.

“Justeru, hari ini kita wajar perbaharui tekad untuk membudayakan gaya hidup mesra alam dan memanfaatkan sumber bumi dengan bijaksana.

“Kita hidup di bumi ini mestilah bertanggungjawab secara kolektif untuk melestarikannya demi keperluan hari ini dan generasi masa hadapan.

“Bumi yang Allah ciptakan untuk kita, ‘Hanya Satu Bumi’, bersamalah kita lindungi,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tuan Ibrahim turut memetik firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 117 yang bermaksud: “Allah jua yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya, “Jadilah engkau”, lalu jadilah ia.

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut bermula pada tahun 1972 dan telah berkembang menjadi sambutan utama seluruh dunia dengan pembabitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dunia terhadap isu alam sekitar serta mempertingkatkan tindakan dan penglibatan terhadap perubahan alam sekitar.

Hari Alam Sekitar merupakan hari untuk semua orang, iaitu ia memberi peluang kepada semua pihak untuk mengambil bahagian dalam tindakan sejagat bagi menggalakkan perlindungan terhadap iklim, menggunakan sumber dengan lestari serta mengamalkan gaya hidup yang mesra alam. – HARAKAHDAILY 5/6/2022

- Advertisement -