Kedah rancang tanam padi lima kali dua tahun

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

POKOK SENA:
Kerajaan negeri merancang untuk melaksana penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun sebagai solusi bagi mengurangkan import beras dari negara luar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sehingga kini Kedah membekalkan 43 peratus beras bagi keperluan negara, namun belum mencukupi untuk menampung permintaan semasa.

“Sekiranya projek tanam padi lima kali dua tahun berjaya, kita tidak perlu import beras lagi,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir di Pokok Sena, hari ini.

- Advertisement -

Katanya walaupun Kedah tidak bimbang mengenai bekalan makanan, namun import bahan yang terlalu tinggi perlu dipandang serius.

Sehubungan itu kata Menteri Besar perbincangan untuk melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun sudah berada di tahap 40 peratus dan komited untuk dilaksanakan.

Lagi pun katanya Kedah tidak begitu gusar berkenaan infrastruktur pengairan dan terusan kerana memiliki bekalan air yang mencukupi.

“Walau bagaimanapun subsidi untuk baja, racun, benih dan harga padi di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan sama ada di dalam atau luar Lembaga Kemajuan Pengairan Muda (MADA) bagi melaksanakan perancangan tersebut serta menyusun semula jadual penanaman padi.

“Ada usahawan yang berminat untuk menceburi bidang tersebut tetapi mungkin perlukan kos sedikit untuk penyediaan infrastruktur,” tambahnya.

Selain itu kata Sanusi Kedah juga merupakan negeri pembekal ikan pantai terbesar negara iaitu 24.5 peratus. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

- Advertisement -