Limpahan ekonomi mudik lebaran

- Advertisement -

Oleh SYAHIR SULAIMAN

MUDIK
lebaran, merujuk kepada tradisi ‘balik kampung’ bagi menyambut perayaan, merupakan suatu fenomena tahunan yang menggabungkan tiga dimensi penting iaitu sosial, budaya dan ekonomi.

Terdapat banyak kesan positif yang terhasil di sebalik tradisi ‘mudik lebaran’ ini. Pulang ke kampung bukan sekadar dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan keagamaan (dimensi sosial dan psikologi), malah turut membawa limpahan ekonomi apabila berlakunya lonjakan pergerakan dan perbelanjaan daripada bandar ke luar bandar, di samping kesan tidak langsung dalam aspek dorongan migrasi dan silang-budaya.

Kitaran ekonomi yang terhasil daripada fenomena mudik lebaran ini, walaupun singkat tetapi mempunyai kesan yang bersifat jangka panjang.

- Advertisement -

Para ‘pemudik’ dalam kalangan warga kota membawa sejumlah wang untuk perbelanjaan sepanjang perjalanan, di samping perbelanjaan semasa berada di kampung. Pastinya sektor pengangkutan, peruncitan, makanan, pakaian, dan penginapan mendapat lonjakan positif daripada peningkatan perbelanjaan yang besar ini, seterusnya menjadi ‘pengubat’ kepada kelembapan perniagaan sepanjang tempoh PKP sebelum ini.

Di samping itu, amalan bersedekah dan tuntutan menunaikan zakat turut menyumbang kepada perkongsian ekonomi melalui perpindahan pendapatan golongan berkemampuan kepada golongan yang memerlukan, seterusnya meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka.

Selain itu, tradisi balik kampung turut membawa impak positif secara ‘psikologi’ kepada masyarakat apabila melihat kepulangan anak perantau yang berkelulusan tinggi dan bekerjaya, menjadi simbol kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi, seterusnya menjadi pendorong kepada anak desa untuk meningkatkan tahap pendidikan dan taraf hidup keluarga.

Manakala dalam aspek fiskal, pentingnya kerajaan memangkin limpahan ekonomi yang terhasil daripada fenomena balik kampung ini, khususnya dalam penyediaan infrastruktur dan prasarana yang mencukupi, penyediaan peluang pekerjaan dan pelaburan di kawasan luar bandar, di samping sokongan kepada pengusaha kecil dan sederhana untuk meningkatkan penghasilan dalam sektor pertanian, peruncitan, pelancongan dan perkhidmatan.

Segalanya jika diurus dengan baik, mampu membawa lonjakan ekonomi yang diperlukan di saat negara sedang memasuki fasa pemulihan pasca pandemik, khususnya terhadap sektor kepenggunaan dan perusahaan kecil sederhana, di samping merapatkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar.

Terpenting adalah kesan jangka panjang yang terbentuk daripada tradisi ‘mudik lebaran’ ini terhadap pengukuhan institusi keluarga, keharmonian masyarakat, dan integrasi bandar-luar bandar, seterusnya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat secara mampan dan saksama.

Keluarga Malaysia, kemakmuran dikongsi bersama. – HARAKAHDAILY 1/6/2022

Coretan anak perantauan yang gemar melihat tingkah laku ekonomi warga bandar dan luar bandar.

- Advertisement -