Kartel kuasai industri padi di Kedah?

Foto hiasan.

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Belum pun reda isu kartel ayam yang menjadi hambatan di seluruh negara sekarang, tiba-tiba muncul pula kartel padi di Kedah, yang belum terungkai biarpun masalah terbabit dikatakan sudah lama berakar umbi.

Kartel padi bertindak sebagai orang tengah yang memudahkan urusan pesawah dengan pengilang padi. Malah ada dakwaan petani mendapat wang lebih awal daripada kartel sehingga mereka terikat dan tunduk kepada kehendak pihak terbabit.

Menurut Exco Pertanian dan Industri Makanan Kedah Azman Nasrudin, kartel padi telah wujud sejak dahulu lagi dalam kitaran industri padi di negeri itu.

Advertisement

Mereka mengaut keuntungan mudah di atas keringat pesawah yang terpaksa membanting keringat di tengah bendang demi sesuap rezeki.

Isu tersebut muncul semula selepas didedah Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menzahirkan rasa tidak puas hati memandangkan pengeluaran padi di negeri itu hanya 6 tan sehektar sejak dahulu sehingga sekarang.

“Apakah faktor yang menyebabkan Kedah hanya mampu mengeluarkan padi 6 tan sehektar sedangkan kerajaan membantu menyalurkan bantuan input pertanian dan pelbagai subsidi.

“Apakah ada pihak yang ‘merosakkan alat penimbang’ memandangkan pengeluaran padi masih 6 tan sehektar sedangkan subsidi baja dan racun semakin bertambah,” katanya baru-baru ini.

Menteri Besar meluahkan kepelikan berlaku memandangkan pesawah di Selangor berjaya menghasilkan pengeluaran padi sebanyak 12 tan sehektar.

Begitu juga Lembaga Hasil Zakat Negeri Kedah (LZNK) menuai hasil padi pertama sebanyak 7.8 tan sehektar sawah yang diusahakan sendiri.

Kedah sehingga sekarang membekal 40 peratus beras untuk keperluan negara. Namun padi yang dihasilkan kekal 6 tan sehektar sejak daripada dahulu sehingga sekarang.

Kepincangan yang berlaku itu dibimbangi ada kaitan penglibatan kartel padi memandangkan pengeluaran masih statik.

“Ia perlu dibenteras dan diperangi habis-habiskan. Ia bukan sahaja membantutkan pengeluaran padi ekoran sikap ‘tidak jujur’ pihak tertentu,” ujarnya.

Oleh itu Menteri Besar berharap tindakan segera dengan memperkemaskan agensi kerajaan bagi membantu petani daripada menjadi mangsa kartel.

“Saya hendak semua orang jujur dalam hal ini kerana ia penting untuk negara. Jangan kerana nak cari kekayaan, nasib pesawah masih begitu sejak dahulu sehingga sekarang.

“Saya akan perangi hal ini habis-habiskan sekiranya ia memang wujud,,” katanya yang kelihatan bersungguh-sungguh menangani masalah tersebut.

Sebagai alternatif Azman pula menyarankan petani menyertai Program Smart Sawah Bersekala Besar (Smart SBB) untuk memutuskan rangkaian kartel padi yang merugikan mereka.

“Smart SBB merupakan satu konsep penglibatan pihak swasta bersama pengusaha atau pemilik sawah dalam rantaian industri padi untuk memutuskan penglibatan kartel,” jelasnya.

Malah Sanusi turut berharap petani  menguruskan sendiri penjualan padi ke kilang-kilang tanpa mengharap atau bergantung kepada orang tengah atau kartel padi semata-mata.

Dengan cara itu bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan pesawah,  sebaliknya mengurangkan perbelanjaan di samping memutuskan pihak yang mengaut untung di atas keringat petani. – HARAKAHDAILY 1/6/2022