Pelbagai faktor pengaruhi kenaikan harga barang – ahli akademik

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ahli akademik, Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed menganggap kenaikan harga barang, termasuk harga ayam dipengaruhi pelbagai faktor dalaman dan luaran.

Katanya, selain daripada permintaan melebihi pengeluaran yang berpotensi meyebabkan kenaikan harga, faktor seperti masalah berpunca daripada rantaian bekalan juga perlu diambil kira.

Antaranya, masalah semasa pengeluaran, cuaca, persekitaran dan krisis lain yang berlaku dio negara lain seperti Perang Rusia, Ukraine dan cuaca panas melampau di India sehingga menyebabkan bekalan gandum berkurangan.

- Advertisement -

“Sebenarnya krisis makanan ini memang dalam jangkaan disebabkan semasa Covid-19 sebelum ini banyak pengeluaran yang mula menunjukkan tanda-tanda gangggu atau kekangan disebabkan oleh keterbatasan pergerakan fizikal dalam tempoh tersebut.

“Jadi apabila pengeluaran terganggu sebelum ini dan baru mula berkembang semula, namun dalam masa yang sama juga melibatkan faktor lain, maka ianya telah menjejaskan pengeluaran sebahagian bahan makanan,” katanya.

Justeru, tindakan kerajaan menghentikan eksport ayam hanyalah penyelesaian jangka pendek bagi memenuhi permintaan ayam dalam negara.

Ahli akademik, Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed

Tindakan sebegitu kata Dr Anuar Shah Bali, adalah perkara biasa yang akan dilakukan oleh mana-mana negara untuk mengatasi krisis yang berlaku dalam negara.

“Apabila ada krisis, kerajaan akan mengutamakan rakyat mereka sendiri, agar bekalan makanan tidak terputus.

“Tetapi, ini hanya untuk sementara waktu untuk menampung bekalan makanan dengan harapan bekalan dalam negara mencukupi dan dapat menampung keperluan rakyat,” katanya ketika dihubungi Harakah, pada Jumaat.

Menurut Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, harga ayam boleh kembali terkawal jika permintaan dan pengeluaran ayam dalam negara dapat dipenuhi dan distabilkan.

Tinjauan Harakahdaily mendapati stok tepung di kedai-kedai runcit mengalami kekurangan.

Katanya, jika permintaan terhadap sesuatu produk tinggi, tetapi pengeluarannya rendah, maka ianya berpotensi untuk berlakunya kenaikan harga, termasuk harga ayam.

Tambah beliau, tindakan sebahagian penjual mengehadkan jualan ayam kepada pelanggan seperti hanya dua ekor ayam untuk satu pelanggan adalah penting.

Katanya, itu akan membantu stok bekalan tidak cepat habis, sekaligus dapat mengurangkan potensi kenaikan harga.

Namun dalam satu sudut yang lain pula ianya memberikan kesan kepada perniagaan yang berasaskan kepada ayam

“Ayam adalah makanan yang penting dalam negara dan mempunyai permintaan setiap hari, tidak seperti bahan lain yang mempunyai musim tertentu.

“Jika sehari, bekalan ayam berkurangan atau terputus, ia bakal menjadi isu nasional.

“Terutamanya, industri makanan yang sememangnya memerlukan bekalan ayam dengan kuantiti yang banyak setiap hari,” katanya.

Ditanya sejauh mana situasi ini akan berlarutan, kata Dr Anuar Shah Bali, ia bergantung kepada sejauh mana faktor yang mempengaruhi pengeluaran ayam tersebut dapat dikawal.

Tambah beliau, perkara ini bukan hanya akan terjadi kepada bekalan ayam sahaja, bahkan ianya juga terpakai kepada semua keperluan lain jika menghadapi masalah pada peringkat pengeluaran yang berlaku disebabkan faktor dalaman dan luaran. – HARAKAHDAILY 27/5/2022

- Advertisement -