Rintihan mangsa banjir Hulu Langat

Pembinaan tebing yang didakwa Abdul Rahman yang tidak meyakinkan. Foto dirakam pada 6 April lalu di Batu 17, Dusun Tua, Hulu Langat. (FOTO YUSMAN AWANG/HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

HULU LANGAT: Sepanjang 20 tahun menetap di Kampung Dusun Tua, di sini, Abdul Rahman Abdullah, 57, terpaksa berdepan dengan banjir tahunan akibat daripada kegagalan kerajaan negeri mengatasi masalah itu.

- Advertisement -

Menurutnya, banjir pada 18 Disember tahun lalu akhirnya membuka mata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan orang ramai mengenai derita yang dialaminya bersama penduduk kampung itu.

“Setelah seluruh daerah Hulu Langat dilanda banjir, barulah mereka buka mata selepas 50 tahun kami terpaksa menelan air banjir.

“Malah, ada yang tidak pernah tahu pun di sini adalah kawasan banjir, mungkin ada orang yang tidak pandang pun apa yang kami luahkan, malah tidak kisah sebab mereka tidak kena,” kongsinya dengan rasa sayu.

Bapa kepada lima orang cahaya mata itu berkata, hanya 10 hingga ke 15 buah rumah di kampung itu sahaja yang kerap dinaiki air Sungai Langat berdekatan rumah mereka.

Katanya, sebelum ini sungai berkenaan tidak sebesar itu, namun lama kelamaan sungai itu semakin besar dan membimbangkan mereka.

Air Sungai Langat melimpah pada 7 Mac, kira-kira dua bulan selepas banjir pada 18 Disember yang mengorbankannya nyawa. Foto ihsan ABDUL RAHMAN.

Tambah Abdul Rahman, penduduk pernah memohon supaya sungai berkenaan diluruskan dan tidak bengkok supaya pergerakan arus lancar dan tidak menghentam rumah mereka.

Bagaimanapun, tiada tindakan diambil dan kini berlaku banjir sehingga mengorbankan nyawa.

“Aspek bantuan yang sangat diperlukan saat ini adalah pembinaan benteng yang menurut saya sangat-sangat penting. Kami mahukan benteng konkrit dan bukan benteng biasa.

“Maksud benteng konkrit itu seperti tebatan banjir yang boleh menahan, dan mengutamakan pembinaan benteng di kawasan hot spot yang sering berlaku banjir.

“Sebab masalah banjir di sini, bukan hanya berlaku dua atau tiga tahun kebelakangan ini, tetapi berlaku sejak ia puluhan tahun lalu dan setiap tahun.

“Namun, kami amat kecewa dengan tindakan atau solusi yang tidak konkrit, tidak padu dan jitu. Solusinya hanya begitu, kalau dibuat batu begitu (rujuk foto), jika datang banjir besar, habislah kami,” jelasnya dengan raut wajah kecewa.

Kata Abdul Rahman, dia tidak yakin dengan solusi PBT yang membina benteng daripada pasir dan batu semata-mata dengan lingkungan sungai tajam itu.

“Saya tidak tahu apa masalahnya, tetapi apabila saya tanya kontraktor yang buat, mereka jawab benteng dibuat berdasarkan bajet yang diterima sahaja.

“Saya pelik, walaupun disebut peruntukan berjumlah RM500juta. Saya tidak mahu komen lagi, itu mungkin urusan orang atasan, saya pun tidak tahu, saya bukan buat andaian, tidak.

“Tetapi ini yang kami dapat? Sepatutnya jika bajet RM500juta buatlah projek yang berbaloi, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, hanya dibuat secara ala kadar, apabila kita tanya kepada kontraktor, mereka jawab ‘kami pun dapat banyak ini, apa yang boleh dibuat?” kongsi Abdul Rahman.

Keadaan di hadapan halaman kediaman Abdul Rahman selepas banjir pada 18 Disember lalu. Foto ihsan Abdul Rahman.

Abdul Rahman berpandangan, sebuah projek tebatan banjir seperti di Seberang Perai, Kuala Lumpur dan Kuala Muda perlu dijadikan contoh.

Katanya, Sungai Langat sudah semakin besar walaupun tidak sebesar Sungai Muda yang hampir menyamai luas Sungai Pahang.

“Jika di Kuala Muda, dahulu setiap tahun banjir, saya pernah balik ke kampung tetapi terpaksa menaiki lori disebabkan jalan besar dinaiki air, namun selepas dibuat tebatan itu sampai sekarang, Alhamdulillah, tidak berlaku lagi banjir setiap tahun.

“Banjir dapat dielak disebabkan tebatan banjir itu, kalau kerajaan Kedah boleh buat, mustahil kerajaan Selangor yang duit banyak tidak boleh buat?

“Jika mahu sebut isu melibatkan tanah awam dan sebagainya, mengapa jalan raya boleh buat, tetapi untuk dalamkan sungai? Jadi saya mohon supaya dalamkan Sungai Langat, bina tebatan banjir yang tinggi, baru boleh selesai masalah banjir ini,” katanya.

Abdul Rahman Abdullah. Foto JAMAL KEMALA/HARAKAHDAILY)

Tambah Abdul Rahman, pihaknya sebelum ini pernah memohon supaya Sungai Langat diluruskan supaya air sungai tidak menghempap kediaman mereka yang berada di liku sungai.

Namun, tiada sebarang tindakan diambil sehinggalah berlaku banjir besar yang mengorbankan nyawa penduduk. Sehingga itu barulah penduduk melihat PBT usaha meninggikan tebing, katanya.

Kata Abdul Rahman, semasa kejadian banjir besar 18 Disember lalu, berlaku kemalangan jiwa membabitkan pekerja asing di sini, bagaimanapun ia tidak mendapat liputan media. – HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -