Selaraskan harga siling pengangkutan e-hailing

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu menyelaraskan harga tambang perkhidmatan pengangkutan awam seperti e-hailing termasuk teksi dan kereta sewa bagi mengatasi isu kenaikan harga tambang yang semakin melampau.

Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail, turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Pengangkutan Malaysia untuk membatalkan lesen pengendalian operator e-hailling serta merta.

Mengulas lanjut, perkara ini adalah perlu dijalankan sekiranya mereka tidak melindungi pemandu dan penumpang serta tidak mengendahkan undang-undang dan membuat sesuka hati mereka.

- Advertisement -

“Kami sedar Kementerian Pengangkutan (MOT) jelas menyatakan bahawa syarikat e-hailing berkonsepkan ‘pasaran terbuka’ industri, yang dicirikan oleh bekalan dan permintaan untuk menentukan kadar tambang, namun ianya tidak adil kepada semua pihak.

“Kalau semuanya di tangan syarikat yang menentukan walaupun pengguna iaitu rakyat biasa menanggung beban, apa gunanya ada kerajaan serta MOT di sini.

Datuk Shamsubahrin Ismail

“Sekiranya kerajaan boleh mengawal tambang teksi sepatutnya mereka turut ‘masuk campur’ dalam menetapkan harga tambang perkhidmatan e-hailing,” katanya dalam sidang media, Wisma Central, di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa peraturan harus diperkenalkan terhadap perkhidmatan e-hailing antaranya berkaitan kadar komisen dan tambang supaya tidak membebankan rakyat. 

“Tambang teksi yang ditentukan oleh kerajaan hasil daripada penilaian segala kos terpaksa ditanggung pemandu dan tidak membebankan penumpang.

“Kadar tambang e-hailing pula tidak dikawal dan diserah bulat-bulat kepada syarikat pengendali untuk menentukannya.

“Kesudahannya, syarikat pengendali e-hailing ini akan ‘mencekik darah’ penumpang dengan harga yang tidak sepatutnya terutamanya pada musim perayaan,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan agar membubarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang didakwa tidak melakukan tanggungjawab dengan baik.

“Kerajaan boleh membubarkan APAD kerana ianya tidak berfungsi lagi jika perkhidmatan e-hailing boleh menentukan harga mereka sendiri.

“Sepatutnya fungsi APAD adalah bagi memastikan perkhidmatan awam lebih cekap, berkesan, responsif dan efisien namun, kini tidak berfungsi seperti itu,” katanya dengan tegas.

Tambah beliau, pelbagai masalah telah timbul ketika ini namun, pihak APAD hanya mendiamkan diri serta tidak tampil untuk memberi penyelesaian yang seharusnya. 

Rizal Adam

Sementara itu, penyampai radio talian eHailingFM, Rizal Adam, berpendapat bahawa tambang e-hailing meningkat bukan masalah keseluruhan syarikat berkenaan tetapi hanya melibatkan satu syarikat sahaja.

Jelas beliau, pengguna tidak seharusnya keliru berkaitan tambang e-hailing kerana terdapat banyak aplikasi yang berlainan yang sama fungsinya tanpa sebarang kenaikan harga tambang.

“Pengguna boleh semak tambang aplikasi e-hailing di telefon mudah alih masing-masing seperti inDriver, MyCar, AirAsia Ride, Gojo dan Maxim.

“Bagi saya, kenaikan harga tambang e-hailing adalah disebabkan faktor kelemahan undang-undang perkhidmatan itu sendiri.

“Sebelum ini, hampir sepanjang tahun tambang terus menjatuh sehingga pendapatan pemandu e-hailing di bawah paras kos sebenar.

“Akan tetapi, tiada siapa yang ingin ambil tahu termasuk pihak kerajaan. Jika ada sila tunjukkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2022

- Advertisement -