Harakah bukan lagi milik pendukung PAS

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

RAMAI
tidak perasan Harakah, satu-satu akhbar berunsur politik yang masih bertahan di negara kita. Hari ini usianya sudah menjangkau 35 tahun.

Rakan-rakan seperjuangan termasuk Suara Keadilan, Roket dan Amanah sudah lama hilang di sebaliknya ledakan arus teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kelebihan yang ada pada Harakah kerana ia milik jemaah. Bermula ahli dan penyokong di kampung sehingga tokoh besar di ibu negara.

Ahli PAS yang mencecah satu juta sekarang boleh membantu. Mereka hanya perlu berbelanja RM4 seminggu atau RM16 sebulan bagi mendapat maklumat semasa dan dakwah yang disajikan Harakah setiap Isnin dan Jumaat.

- Advertisement -

Mereka juga boleh melanggan e-Harakah (akhbar digital) mendapatkan berita terkini. Ahli dan penyokong sepatutnya berbangga laman berita Harakahdaily.net boleh dilayari secara percuma.

Harakah mungkin tidak seperti akhbar dan media lain yang pernah disebut sebelum ini sebagai media arus perdana.

Ketika Harakah melangkah ke gerbang usia dewasa, tidak ramai sedar tulisan ‘Untuk Ahli PAS Sahaja’ yang disyaratkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini sudah lama dimansuhkan.

Tiada lagi perkataan ‘Untuk Ahli PAS Sahaja’ seperti yang tertera di halaman hadapan Harakah sejak sekian lama. Ini bermakna Harakah bukan lagi untuk bacaan ahli PAS sahaja.

Bermula 2018, perubahan itu berlaku bagi membolehkan Harakah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan akhbar-akhbar lain.

Ahli Umno, Bersatu, PKR atau mana-mana parti boleh mendapatkan Harakah bagi mendapat gambaran lebih jelas isu semasa yang berlaku, terutamanya yang diukur dari kaca mata siasah Islam.

Ketika melangkah ke usia dewasa pada tanggal 20 hingga 22 Mei lalu karyawan Harakah berkampung di Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qaradhawi (KOMTAQ), Kuala Kerdau, Temerloh.

Retreat Harakah itu membelek semula pencapaian yang berlaku, di samping itu nekad mewarnai semula laporannya bagi menarik lebih ramai pembaca.

Semua karyawan sama ada editor, wartawan, jurugambar dan pihak pengurusan ‘memerah’ otak untuk berkongsi idea bagaimana menjadikan Harakah setanding dengan media lain.

Tidak menolak terdapat kelompongan dan kelemahan di pelbagai sudut, namun komitmen tinggi petugas sama ada di bahagian editorial, pentadbiran, pemasaran dan media sosial amat dihargai.

Setiap wajah yang hadir dilihat mempunyai semangat dan matlamat yang sama demi kelangsungan Harakah dalam arus ledakan ICT.

Jangan sebut, Harakah hanya berbicara soal politik, sedangkan banyak lagi ruang menghidangkan aneka maklumat, peristiwa dan sejarah.

Harakah terus melangkah meniti usia dewasa biarpun pengasasnya sudah lama meninggalkan kita.

Kita terkenang arwah Haji Subky Latiff, Pak Yusof Jalil, Pak Shukur Harun. Begitu rakan-rakan lain yang banyak berjasa termasuk Lufti Othman, Zin Mahmud, Zulkifli Sulong dan ramai lagi.

“Tak kenal maka tak cinta,” kata seorang rakan wartawan. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan ‘nak tahu yang benar, baca di Harakah’. Inilah satu-satunya akhbar dakwah milik kita semua. – HARAKAHDAILY 26/5/2022

- Advertisement -