Kelantan tampung permintaan sumber protein negara

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL|Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kelantan memperuntukan sebanyak RM1 juta bagi meningkatkan lagi pengeluaran ikan air tawar bagi menampung permintaan sumber protein di negara ini.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peruntukan tersebut diagih melalui Jabatan Perikanan Negeri untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan sektor perikanan air tawar.

Katanya, program tersebut mengutamakan peningkatan pengeluaran hasil dan kualiti penternakan akuakultur.

- Advertisement -

“Jabatan Perikanan menyalurkan pelbagai bantuan termasuk bantuan bencana bagi membantu mengurangkan kos operasi yang ditanggung penternak akuakultur.

“Selain itu pemulihan kolam terbiar dan meningkatkan pengeluaran benih ikan air tawar di Machang dan bantuan input makanan ikan kepada penternak dan nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Perikanan ‘Jom Makan Ikan Air Tawar’ di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Mohd Mohtar Mahamud.

Pada majlis itu seramai 29 penternak menerima bantuan input ternakan dan peralatan akuakultur serta bantuan perolehan sistem ternakan dan input ternakan kepada peserta Zon Industri Akuakultur di Danau Tok Uban.

Selain itu kerajaan turut menyampaikan bantuan perlatan menangkap ikan kepada nelayan darat dan nelayan pantai serta bantuan bencana di bawah Program Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

Ahmad juga berkata, program tersebut bagi mempromosikan penggunaan ikan air tawar di samping meningkatkan hasil jualan penternak serta pengusaha produk berasaskan ikan air tawar. – HARAKAHDAILY 26/5/2022

- Advertisement -