PAS, PN tidak terjejas Zuraida keluar Bersatu

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
PAS menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Ampang, Dato’ Zuraida Kamaruddin keluar parti daripada Bersatu sebagai mencerminkan amalan demokrasi di negara ini.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, amalan negara demokrasi itu membolehkan mana-mana individu menyertai mana-mana parti politik.

Malah, katanya PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak terjejas kerana parti itu mendapat sokongan rakyat.

Advertisement

“(Ini) negara demokrasi, boleh ikut mana-mana parti. Tak (terjejas), kita dapat sokongan rakyat. Bergantung kepada rakyat.

“Pemimpin boleh pergi dan boleh datang,” ujarnya ditemui ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di Dataran Khairunnisa, Jalan Sultan Omar, di sini hari ini.

Hari ini Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi dilapor mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Sebelum ini Zuraida merupakan bekas pemimpin PKR. Parti Bangsa Malaysia dilancarkan pada 21 Disember tahun lalu yang diketuai Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Ditanya kemungkinan ada lagi pemimpin akan menyertai parti PBM Tuan Guru Abdul Hadi berkata, perkara yang akan datang manusia tidak mengetahuinya.

“Pada dasarnya kita sudah ada perbincangan, (kita) ada formula. Kita akan usahakan pada PRU15 dapat pertahankan PN dan MN. Agenda Perpaduan Ummah kita utamakan.

“Berdasarkan prestasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, prestasi PN meningkat 100 peratus. Kita yakin boleh menang, Insya’Allah,” katanya.

Justeru, kata beliau dengan penuh komitmen PAS akan berusaha pertahankan PN dan MN.

Sementara itu dalam perkembangan lain Tuan Guru Abdul Hadi berkata, PAS bukan sahaja mahu mengekalkan hubungan baik dengan Umno Selangor, sebaliknya hubungan serupa di negeri-negeri lain.

Katanya, PAS masih mempertahankan hubungan dalam Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.

“Bukan sahaja di Selangor, tempat-tempat (negeri) lain. Kita masih pertahankan PN dan MN, dua-dua sekali. Kita usahakan kerjasama itu,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 26/5/2022