Manfaatkan khazanah warisan sastera kepada industri kreatif

Diyakini mampu tembusi pasaran global

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemain industri kreatif negara harus memanfaatkan khazanah warisan sastera negara untuk tampil dengan karya yang lebih menarik agar boleh menembusi pasaran global.

Ketua Program Sarjana Seni Kreatif Pascasiswazah Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Mohd Kamarulzaman Taib berkata penerbitan lebih 1,001 kandungan kreatif di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) umpamanya, boleh diterjemah dan diadaptasi ke sebuah karya menarik.

- Advertisement -

“Negara kita kaya dengan pelbagai karya sasterawan dan pemikirannya juga sangat tinggi. Cuba kita gali semula cerita-cerita tradisional seperti hikayat, sastera rakyat, sejarah dan puisi tradisional yang boleh diadaptasi atau direkonstruksikan sebagai sebuah naratif baharu.

“Kita juga ada 12 sasterawan negara yang cukup tinggi nilai pemikirannya melalui pelbagai bahan seperti novel, cerpen dan skrip drama yang boleh kita rujuk dan adaptasikan sebagai kandungan kreatif. Saya yakin DBP sangat mengalu-alukan usaha ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebagai penggiat seni, pemain industri kreatif seharusnya bijak dalam memperkaya khazanah budaya bangsa Malaysia itu sendiri dengan kembali kepada apa yang negara ada, tanpa perlu ‘menjaja’ budaya orang lain.

Bagi memberikan anjakan paradigma kepada industri kreatif, beliau juga berpendapat industri perfileman Malaysia harus meraikan dan memberi peluang kepada barisan pengkarya muda bagi mencorak industri agar bidang itu terus maju dan berkembang.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa agar pemain industri kreatif negara berani keluar daripada kebiasaan bagi membolehkan kandungan kreatif negara menembusi pasaran global.

Turut sependapat Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (SEMESTA) Prof Dr Mahadi J Murat yang menyifatkan karya filem tempatan perlu mencerminkan identiti Malaysia agar mempunyai nilai pasaran tinggi. 

Katanya sepertimana industri filem Korea, kekuatan sebuah karya daripada pemain industri kreatif negara harus pada originaliti kandungannya agar ia ‘berwajah’ Malaysia, seterusnya menjadi penyumbang kepada pengkayaan khazanah perfileman dunia, sama seperti yang dilaksanakan di Korea, China, Iran, Perancis dan lain-lain.

Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) telah memperkenalkan tema dan slogan ‘Filem Kita Wajah Kita‘, sebagai panduan membina hala tuju industri kepada semua pihak sejak awal 1990-an.

Bagaimanapun, idea itu menurutnya seolah-olah semakin dilupakan dan hanya kini kesedaran mengenainya kembali semula selepas melihat negara seperti Korea berjaya membina impak tinggi di festival filem dan televisyen komersial antarabangsa.

Untuk itu, Mahadi yang juga Profesor Pengajian Filem dan Komunikasi di International University of Malaya-Wales (IUMW) menyarankan agar Malaysia mengambil langkah segera dengan membina kerjasama bersama negara serantau dalam usaha mencari jalan menembusi pasaran global.

“Jika kita bersama Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Singapura, Laos dan Kemboja, kita akan mendapat khalayak penonton yang mempunyai sentimen dan budaya hidup yang boleh dikatakan serumpun,” katanya yang turut merasakan Malaysia patut melahirkan dasar baharu filem dan kandungan kreatif tempatan untuk rujukan semua pemegang taruh.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Fullmoon Pictures Izzat Hazim pula berpandangan pemain industri yang berjaya menembusi pasaran global berpeluang mempelajari pelbagai kemahiran termasuklah dari segi menghasilkan produk bertaraf antarabangsa, pemasaran dan pengedaran.

“Pengalaman yang diperoleh ini dapat dimanfaatkan untuk menaik taraf industri di dalam negara kita sendiri. Tambahan pula, pasaran dalam negara tidak besar berbanding pasaran global,” katanya.

Dalam pada itu, penerbit Hornbill Films Sdn Bhd Ray Lee berkata proses memajukan industri filem negara tidak terletak di bahu FINAS semata-mata sebaliknya melibatkan pelbagai pihak termasuk orang awam memandangkan ia mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara. – BERNAMA

- Advertisement -