Inovasi ‘Bunga Kantan Flakes’ raih anugerah tertinggi MPI 2022

- Advertisement -

KUALA NERUS: Sebanyak 33 produk penyelidikan dan inovasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya meraih pingat emas pada Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2022 yang berakhir di sini, semalam.

Lebih membanggakan, produk ‘Bunga Kantan Flakes’ yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik UniSZA dengan kolaborasi Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian itu dipilih memenangi ‘Grand Award’, iaitu anugerah tertinggi MPI.

- Advertisement -

Menurut Ketua projek ‘Bunga Kantan Flakes’ Dr Nor Asiah Muhamad Nor dari Fakulti Sains Kesihatan UniSZA, beliau serta tiga rakannya mengambil masa lebih lima tahun untuk menyiapkan produk yang mampu mengurangkan paras gula dalam darah itu.

Katanya, idea untuk menghasilkan produk daripada tumbuhan tersebut timbul apabila melihat skop  penggunaannya yang terhad kepada masakan selain dijadikan ulam.

“Penggunaan bunga kantan sangat terhad, iaitu dalam masakan seperti asam pedas, laksa asam dan nasi kerabu. Ini amat merugikan kerana ia sebenarnya mempunyai banyak manfaat lain.

“Sebelum dapat menghasilkan produk akhir, banyak uji kaji seperti ujian ketoksikan dan antidiabetik yang kami jalankan dan ia memakan masa bertahun sebelum dapat dibuktikan secara saintifik,” katanya ketika ditemui pada MPI 2022 di UniSZA, semalam.

Sebanyak 348 produk penyelidikan dan inovasi daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dipertandingkan pada program berkenaan.

Selain mampu mengurangkan paras gula dalam darah, Nor Asiah berkata kajian juga mendapati pengambilan produk itu secara berterusan dan konsisten dapat membantu mengurangkan berat badan.

“Proses penghasilan bermula daripada bunga kantan segar ke bentuk serpihan (flakes) yang melalui pengeringan dalam makmal mengambil masa kira-kira dua minggu untuk siap.

“Produk ini boleh diambil oleh pesakit diabetik atau orang normal sebagai makanan penggalak, bahan dalam masakan atau penyediaan teh serta jus minuman,” katanya yang berhasrat bekerjasama dengan mana-mana syarikat berminat untuk mengkomersialkan produk itu.

Selain Nor Asiah, tiga lagi ahli kumpulan itu ialah Dr Liza Noordin dari Pusat Pengajian Sains Perubatan USM; Dr Nor Hidayah Abu Bakar dari Fakulti Perubatan UniSZA dan Prof Madya Wan Amir Nizam Wan Ahmad yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM. – BERNAMA

- Advertisement -