Lebih 4,000 kunjungi rumah terbuka Aidilfitri PAS Pulau Pinang

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

KEPALA BATAS: Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Pulau Pinang anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang (BPPNPP) di Kompleks Tarbiyah Islamiah Al-Falahiah (KOMTIF), Penaga dekat sini berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.

- Advertisement -

Majlis yang diadakan pada Ahad bermula seawal pagi dikunjungi lebih 4,000 tetamu termasuk pemimpin parti politik seperti Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Dato’ Musa Syeikh Fadzir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khalid Mehtab Mohd Ishaq mewakili parti Bersatu dan ramai lagi.

Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, berkata program diadakan bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kaum untuk mengekalkan kesejahteraan yang dikecapi Malaysia selama ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak.

Malah beliau berharap matlamat penyatuan ummah antara PAS, Umno dan Bersatu akan terus membuahkan hasil dengan mengambil semangat daripada sambutan Aidilfitri.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Awang Salehuddin berkata, PAS akan terus berusaha merealisasikan penyatuan ummah walaupun terdapat perbezaan pandangan.

Bagi Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia adalah lumrah apabila berlaku perselisihan pendapat tetapi paling utama adalah titik pertemuan syahadah yang menjadi pengikat kepada umat Islam khususnya.

Dalam pada itu, Setiausaha BPPNPP, Iszuree Ibrahim pula menyatakan rasa syukur dengan kelancaran program meskipun hujan renyai-renyai.

“Tetamu tidak putus-putus datang berkunjung untuk sama-sama meraikan Aidilfitri di sini,” ujar Iszuree. – HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -