Kelantan bantu wanita jalani saringan kesan barah

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi membantu golongan wanita melakukan ujian saringan pengesanan awal barah payudara atau mamogram tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, inisiatif itu melibatkan jalinan kerjasama dengan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi melakukan ujian saringan berkenaan.

Katanya peruntukan tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 wanita terutama untuk mengenal pasti simptom atau ketulan yang boleh membawa kepada kanser.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri menanggung kos saringan awal untuk melakukan mammogram,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Kempen Saringan Reproduktif Wanita sempena Sambutan Hari Ibu peringkat negeri di sini hari ini.

Oleh itu kata beliau mereka yang berminat boleh mendaftarkan melalui Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita untuk mendapatkan tarikh bagi melakukan ujian di HUSM.

Menurutnya juga sekiranya terdapat ketulan selepas membuat saringan awal, mereka perlu melakukan rawatan serta saringan kedua untuk mengesahkan sama ada kanser atau tidak.

“Tidak semua yang berketul itu kanser, namun kita khuatir sekiranya tidak di rawat pada peringkat awal ia boleh membahayakan mereka,” katanya.

Mumtaz juga berkata, kemudahan saringan yang disediakan kerajaan negeri setakat ini kurang mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan wanita.

Katanya, situasi itu berlaku kemungkinan masih ramai wanita takut untuk melakukan saringan kerana berdepan dengan kekangan lain. – HARAKAHDAILY 24/5/2022

- Advertisement -