MB risau pengeluaran padi di Kedah masih statik

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan negeri bimbang kemungkinan wujud kartel dalam industri padi di Kedah memandangkan hasilnya masih statik sehingga sekarang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengeluaran padi sehingga kini masih enam tan sehektar sedangkan prosesnya mengambil masa yang panjang.

Manakala katanya kos subsidi baja dan racun semakin bertambah, namun pengeluaran padi masih statik.

- Advertisement -

Sedangkan kata beliau padi yang diusahakan di bawah Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di kawasan seluas 30 hektar berjaya menuai hasil pertama sebanyak 7.8 tan sehektar.

“Jadi apakah faktor yang menyebabkan Kedah masih lagi mengeluarkan padi enam tan sehektar. Berbanding di Selangor padi yang dihasilkan sebanyak 12 tan sehektar.

“Adakah betul padi di Kedah enam tan sahaja atau alat timbang rosak atau dirosakkan..,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, semalam.

Oleh itu beliau berharap tindakan segera perlu dilakukan memandangkan Kedah sebagai sebuah negeri pengeluar padi utama di negara ini.

Malah katanya juga dibimbangi berlaku tidak kejujuran dalam rangkaian industri padi yang hanya menghasilkan setakat enam tan sehektar sahaja.

Sanusi juga berkata, senario yang berlaku itu menjadi kekangan ke arah meningkatkan pengeluaran padi di Kedah.

“Perkara itu juga telah dibincangkan dengan Exco berkaitan bagi mengambil tindakan segera dengan memperkemaskan agensi milik kerajaan sama ada negeri atau Persekutuan,” ujarnya.

Menteri Besar juga berhasrat menjadikan model penanaman padi yang diusahakan oleh LZNK sebagai cabaran bagi meningkatkan pengeluaran padi di Kedah. – HARAKAHDAILY 19/5/2022

- Advertisement -