Keadilan: Tidak angkat diri, tidak sombong

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 38)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

Ibn Abdul Hakam mengeluarkan daripada Abi Tamim al-Jaishani ra, katanya: Umar al-Khattab menulis surat kepada Amru ibn Al-As ra: Sampai berita kepadaku bahawa engkau membina mimbar yang engkau meletakkan dirimu tinggi dari leher orang lain, atau memadailah engkau berdiri dan orang Islam di bawah tumitmu. Aku berazam mahu memecahkannya.

Kisah seperti ini mungkin kita jarang mendengarnya. Nabi SAW pernah mengambil mimbar untuk berucap, berkhutbah Jumaat dan memberi arahan. Para Khulafa ar-Rashidin juga demikian. Justeru, kenapa Umar al-Khattab melarang Amru bin Al-As dari mengambil mimbar?

Advertisement

Apa yang saya tahu ialah mimbar Nabi mempunyai 3 anak tangga. Tidaklah terlalu tinggi. Mungkin para penggantinya juga demikian. Apa yang dibuat oleh Amru bin Al-As mungkin melebihi dari yang sepatut dan selayaknya. Umar al-Khattab pula diketahui sebagai seorang yang sangat sensitif tentang apa sahaja perkara yang berkait dengan pentadbiran, pengurusan kerajaan hingga sekecil-kecil perkara.

Agaknya atas dasar inilah Umar al-Khattab menegur gabenornya di Mesir itu. Dalam surat beliau kepada Amru bin Al-As, disebut: ‘mimbar yang engkau meletakkan dirimu tinggi dari leher orang lain’ menunjukkan sifat mimbar tersebut yang menjadikannya melampaui dari apa yang sepatutnya.

Di zaman kita, ada mimbar masjid yang agak tinggi. Ia dibina dengan maksud agar mudah dilihat oleh makmum yang berada agak jauh dari khatib. Saya harap ia tidak menjadi kesalahan dan bercanggah dengan apa yang dibuat oleh Nabi SAW dan apa yang ditegur oleh Umar. Hukum boleh berubah dengan perubahan keadaan dan situasi semasa.

Saya melihat teguran Umar al-Khattab dari sudut roh dan semangatnya ialah agar para pegawai kerajaan, gabenor, penjawat awam, mereka yang berkhutbah dan lain-lain lebih sensitif tentang apa yang dibuat dan dibina, mengambilkira pelbagai faktor dalam membuat apa-apa keputusan dan tidak cuba mengangkat diri lebih dari orang lain dalam pelbagai cara dan kaedah. – HARAKAHDAILY 19/5/2022

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.