2 tahun kerajaan PN Kedah lulus ribuan permohonan tanah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Sepanjang dua tahun pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerajui Kedah ribuan permohonan tanah oleh rakyat dilulus kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyerahan geran tanah kepada penduduk akan diadakan bermula pada Jun ini yang melibatkan Pejabat Tanah Daerah seluruh Kedah.

Katanya beberapa perkara baharu ditetapkan bagi memastikan kerajaan negeri bertindak pantas menangani masalah permohonan tanah yang berlarutan sejak 20 tahun.

- Advertisement -

“Kita menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) baharu khususnya di pejabat tanah di mana setiap Penolong Pegawai Tanah mesti menyiapkan 10 fail sebulan berkaitan urusan tanah.

“Selain itu lima fail lain yang tidak bersangkutan dengan tanah,” kata beliau pada sidang media di sini semalam.

Sanusi juga berkata, KPI itu berbeza dengan pencapaian sebelum ini yang mana
Penolong Pegawai Tanah hanya menyiapkan dua fail sebulan atau 10 fail setahun.

Oleh itu beliau berharap ketetapan baharu tersebut urusan berkaitan isu-isu permohonan tanah dapat dilaksanakan lebih cepat dan pantas.

Menurutnya juga jawatankuasa tanah perlu mengadakan mesyuarat dua minggu sekali sebelum mengemukan kertas kerja kepada mesyuarat Exco yang diadakan setiap minggu.

“Sekiranya kertas kerja yang dikemukakan tidak lengkap, ia akan dikembalikan ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk diserahkan kembali kepada Pejabat Tanah Daerah untuk diperbetul dan dikemaskini semula,” katanya.

Beliau juga berkata, perubahan tersebut diharap dapat menyelesaikan segera masalah pertindihan permohonan tanah oleh rakyat. – HARAKAHDAILY 19/5/2022

- Advertisement -