37,000 muzium di seluruh dunia rai Hari Muzium Antarabangsa

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelantan buat julung kali dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung seminggu bermula 19 Jun ini.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, program tersebut diadakan pertama kali di negara ini pada 1997.

Katanya, sambutan itu akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV turut memberi peluang orang ramai mengenali dan memahami fungsi serta peranan muzium.

Advertisement

“Kini giliran Kelantan selepas 25 tahun diadakan sambutan tersebut sejak 1997. Alhamdulillah kita mengalu-alukan dan terima kasih kepada Jabatan Muzium Malaysia kerana memilih Kelantan.

“Kita akan mengadakan pelbagai program sepanjang sambutan tersebut termasuk program kebudayaan, pesta makanan, ‘Train to Dabong’ dan sebagainya yang mampu meningkat ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas majlis perasmian Pra Pelancaran Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2022 di Pasaraya Mydin di Bandar Baru Tunjung di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Dato’ Hassan Mohamood; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Dato’ Kamarul Baharin Abdul Kasim.

Penganjuran program itu melibatkan penyertaan lebih 700 warga muzium dari 28 muzium seluruh negara. Kelantan pula mempunyai 10 muzium, terbaru Muzium Pertanian di Tumpat.

Tema sambutan tahun ini iaitu ‘Keunggulan Muzium (The Power of Museums)’ mencerminkan muzium memilik kuasa atau pengaruh yang besar bagi menarik masyarakat mengubah dunia ke arah lebih baik.

Tanggal 18 Mei merupakan Hari Muzium Antarabangsa yang diraikan seluruh dunia melibatkan 37,000 muzium dari 158 negara dengan mengadakan pelbagai aktiviti.

Penetapan tarikh itu hasil keputusan Persaidangan Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) pada tahun 1977 yang bertujuan memberi peluang kepada masyarakat mengenali muzium dan memahami peranan serta fungsinya.

Majlis sambutan tersebut dikelola Jabatan Muzium Malaysia, diraikan secara giliran bersama 14 perbadanan muzium negeri serta institusi yang bergabung di bawah Persatuan Muzium Malaysia.

Ia diadakan setiap tahun bagi mencetuskan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan institusi muzium bagi memelihara sejarah dan khazanah penting negara.

Muzium merupakan sebuah badan yang menghubungkan masa lalu dan masa sekarang serta mempunyai kelebihan mencetus idea-idea baharu yang lebih holistik dalam merancang kehidupan lebih baik pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 19/5/2022