Jangan letak penghalang antaramu dan rakyat

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 37)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

SAIDINA Umar mendapat berita gabenornya di Kufah iaitu Saad bin Abi Waqas membina mahligai yang besar untuknya, dan meletakkan penghalang padanya.

Umar mengutus Muhamad bin Maslamah selaku pegawainya, supaya mengambil minyak dan kayu api, lalu dibakar mahligai Saad.

- Advertisement -

Umar juga mengirim surat kepada Saad. Di dalamnya ditulis: “Sampai berita kepadaku bahawa engkau membina mahligai, yang engkau jadikan seperti kubu. Engkau namakannya ‘Rumah Saad’. Engkau letakkan pintu antaramu dan antara orang ramai. Itu bukan mahligaimu, tetapi mahligai kebinasaan. Jangan letak pintu di tempat tinggal mu yang menghalang orangramai dari memasukinya, dan menafikan mereka dari hak mereka”. (Hayatus-Sahabah, Al-Kandahlawi 2/81)

Saad bin Abi Waqas bukannya sebarangan Sahabat. Kelebihannya diketahui dari sirah Nabi dan perjalanan hidup Saad sendiri. Soalnya adakah benar-benar Saad membina rumah sedemikian dan menghalang orangramai dari mendekati dan menemuinya?

Umar al-Khattab juga bukannya seorang sahabat yang lekeh dan Amir al-Mukminin yang calang- calang orangnya. Adakah beliau menegur Saad dengan sesuka hati dan memerintahkan Muhamad bin Maslamah bertindak secara semberono?

Para sahabat Nabi SAW adalah orang yang kuat berpegang dengan agama. Apa yang Umar lakukan menunjukkan tanda aras yang tinggi di sudut akhlak dan integriti para pegawainya. Dengan bahasa mudah: Jangan ada sedikitpun kekotoran atau satu titik hitam pada sehelai kain putih yang sangat putih.

Kita boleh belajar bahawa menjadi seseorang yang ada jawatan besar bukanlah mudah seperti sangkaan setengah orang. Banyak yang perlu dijaga, diberi perhatian, sensitif terhadap perkara dan orang lain, serta jangan ambil mudah dengan apa-apa tindakan yang dibuat. – HARAKAHDAILY 16/5/2022

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -