MP biayai penerbitan buku ‘Arus Dari Gunung’

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

JERAI:
Setahun lalu tentunya ramai masih ingat tragedi kepala air Gunung Jerai mengorban enam nyawa dan mengakibatkan lebih 2,000 penduduk di beberapa kawasan di kaki Gunung Jerai terjejas.

Fenomena kepala air dan banjir lumpur itu kini dirakam dalam buku ‘Arus Dari Gunung’ diterbit sebagai rakaman peristiwa untuk tatapan generasi akan datang.

Ahli Parlimen (MP) Jerai Sabri Azit berkata, buku yang mengadaptasi kisah-kisah sedih kejadian petang 18 Ogos 2022 itu wajar dimiliki semua pihak khususnya penduduk Yan.

- Advertisement -

Katanya, usaha itu penting supaya peristiwa dan sejarah yang berlaku tersimpan kemas dan tidak berlalu begitu sahaja.

“Kejadian yang dikatakan berlaku sekali dalam tempoh 100 tahun itu perlu dijadikan iktibar agar penduduk sentiasa berwaspada.

“Pada kejadian 1925 dahulu tiada maklumat sahih diperolehi kerana tidak dibukukan sehingga ada yang menyifatkan sebagai mitos,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Yan di Guar Chempedak semalam.

Buku setebal 276 muka surat dihasilkan beberapa penulis yang terlibat rapat dengan kejadian. Buku terbitan Hafiz Trading dibiaya sepenuhnya Ahli Parlimen Jerai membabitkan kos hampir RM40,000.

Penerbitannya mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan. Selain itu dimuatkan titipan ucapan takziah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut dipaparkan pengkisahan duka mangsa-mangsa kejadian ketika tragedi tersebut berlaku.

Sabri juga berkata, buat permulaan sebanyak 1,000 naskhah dicetak untuk dihadiahkan kepada sekolah-sekolah berhampiran, pemimpin dan mangsa-mangsa kejadian.

“Insya-Allah buku ini akan dijual kepada pihak yang berminat boleh. Mereka menghubungi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jerai,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2022

- Advertisement -