Kes HFMD di Kedah meningkat, ambil langkah berjaga-jaga

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Orang ramai terutama yang mempunyai anak-anak kecil dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, sehingga 1 Mei lepas sebanyak 102 kes dikesan di beberapa daerah di Kedah dan menjadikan kes meningkat sehingga 46.6 peratus  berbanding 2019.

- Advertisement -

Katanya Daerah Kuala Muda didaftarkan mempunyai bilangan kes tertinggi iaitu 29 kes, diikuti Kota Setar (22 kes) dan Padang Terap (17 kes).

“Trend peningkatan kes HFMD di Kedah tahun ini amat ketara bermula pada Minggu Epidemiologi ke-13 dan melebihi paras ambang epidemik,” katanya pada kenyataan.

Menurutnya juga walaupun hampir keseluruhan pesakit pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam masa tujuh hingga 10 hari, namun jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti jangkitan otak, paru-paru dan otot jantung.

“Ibu bapa perlu segera membawa anak ke klinik atau hospital terdekat jika mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan terutama demam dan ruam di tangan, kaki dan mulut,” katanya.

Dr Hayati juga berkata, penyakit HFMD disebabkan jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan merebak melalui kontak air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Bagaimanapun katanya majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan (mild) seperti demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Beliau juga menyarankan pemerikasaan atau saringan khususnya di pintu masuk sekolah, taska, tadika, tabika dan pra-sekolah diadakan selain melakukan disinfeksi atau nyahkuman pada permukaan yang tercemar.

“Kurangkan penglibatan anak-anak  di tempat awam yang sesak seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas.

“Sentiasa menjaga kebersihan diri, persekitaran dan kerap mencuci tangan selain elakkan menghantar anak yang menunjukkan gejala atau tanda jangkitan ke pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/5/2022

- Advertisement -