Pengorbanan Bersatu bantu BN kembali ke saf kerajaan

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR:
PAS membuktikan sokongan dan bantuan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 membolehkan parti itu membina kekuatan semula.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki berkata, sokongan tersebut atas nama Muafakat Nasional (MN) bagi mengembalikan kekuatan politik orang Melayu dan Islam.

Katanya kerjasama atas nama MN tidak wajar dibiarkan berkubur begitu sahaja kerana telah terbukti berjaya membina kekuatan ummah pada PRK sebelum ini.

“MN perlu diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan melibatkan sama penyertaan Bersatu.

- Advertisement -

“Bersatu tidak dinafikan berjasa besar kepada kerajaan Pusat yang ada sekarang kerana berjaya menyebabkan PH tumbang,” katanya di sini.

Menurutnya pengorbanan Bersatu dan sebahagian ahli parlimen PKR membolehkan Umno dan BN kembali berada dalam saf kerajaan seperti sekarang.

Kata beliau apabila parti-parti Melayu Islam dapat bekerjasama sudah pasti PRU akan datang kuasa politik orang Melayu Islam dapat dipertahankan.

Oleh itu katanya bagi meredakan keadaan Umno dan PAS disaran tidak menyerang antara satu sama lain, sebaliknya perlu saling memperkukuhkan MN yang terjalin sejak 14 September 2019.

“PAS dan Umno perlu bersama mengukuhkan MN bagi menghadapi PRU ke-15 untuk menghalang kemaraan semula PH.

“Malah sepanjang hubungan MN PAS tidak pernah memperlekehkan Umno, sebaliknya berusaha membuka MN kepada parti-pati lain dan NGO yang seiring dengan perjuangan,” katanya.

Menurut beliau juga dalam banyak PRK sebelum ini jentera PAS membantu calon Umno yang bertanding tanpa tidak dibayar satu sen pun.

Sebaliknya kata beliau, jentera dan pengundi Umno sebelum ini tiada bukti memberi sokongan kepada calon PAS pada PRK yang diadakan. – HARAKAHDAILY 13/5/2022

- Advertisement -