Selamat menyambut Hari Pekerja

Di luar sana. Ramai lelaki yang berusaha untuk memastikan isteri dan keluarganya terus bertahan untuk mengadakan makanan di atas meja makan.

Di luar sana. Ada wanita yang berusaha dan memerah keringat untuk meringankan beban suaminya dan keluarganya agar ada makanan yang boleh disuap di mulut masing-masing.

Ada juga yang membanting tulang untuk memastikan ada lakaran senyuman pada wajah ibu dan ayahnya, adik beradiknya, jiran tetangganya malah masyarakat di sekelilingnya agar dipenuhi segala keperluan hidup seharian.

Advertisement

Apatah lagi, usaha mereka semua ini, diperoleh secara halal dan barakah.

Maka, ketahuilah, Nabi Muhammad SAW junjungan mulia pernah mencium tangan sahabat yang mengelupas tangannya kerana mencari rezeki yang halal untuk diberikan kepada keluarganya, dan tangan ini yang dijanjikan Allah untuk tidak disentuh oleh api neraka.

Dengan kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua rakyat Malaysia yang banyak menabur bakti dan memberi jasa kepada negara dengan pekerjaan yang dilakukan untuk meningkatkan kualiti ekonomi, kesihatan dan perjuangan agama dan bangsa tanpa kenal erti lelah.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya menegaskan: Kalau seseorang bekerja untuk menghidupi anak-anaknya yang masih kecil, maka itu fi sabilillah; kalau ia bekerja untuk menghidupi kedua orang tuanya yang sudah lanjut usia, maka itu fi sabilillah; kalau ia bekerja untuk kepentingan dirinya sendiri agar tidak meminta-minta, maka itu fi sabilillah. (HR Thabrani)

Selamat Hari Pekerja

YB SENATOR DATUK IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 1/5/2022