Kelantan didik penjawat awam konsep UMI lebih 30 tahun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meletak asas yang jelas bagi meraikan golongan pekerja dengan mendidik kakitangan awam di negeri itu mengamalkan konsep ubudiyyah, masuliyah dan itqan (UMI).

Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN) Ahmad Fathan Mahmood berkata, kerajaan Kelantan mendidik semua penjawat awam dengan konsep UMI lebih 30 tahun.

Oleh itu, katanya laksanakanlah tanggungjawab sebagai pekerja mengikut deskripsi tugas yang ditetapkan kerana Allah SWT agar gaji yang diganjari setiap bulan itu diberkati.

Kata beliau usaha itu selaras dengan tema sambutan Hari Pekerja tahun ini Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara.

- Advertisement -

“Ia mengingatkan kita kepada lirik lagu Nyanyian Serambi yang puitis dan menarik;

“Keluar pagi balik petang, adakala sampai malam, cari rezeki bawa pulang, buat orang yang tersayang, oh bersabarlah”.

“Lantunan suara serak-serak basah Ramli Sarip tersebut amat terkesan kerana diakhiri dengan rangkap seterusnya yang paling bermakna.

“Biar emas setinggi gunung, kan kupeluk rimbun ampun, rahmat Yang Maha Agung,” katanya di sini.

Ahmad Fathan yang juga Adun Chempaka berkata, sesungguhnya segala pekerjaan yang baik dan diniatkan kerana Allah adalah ibadah.

Sebab itulah kata beliau keringat para amilin (pekerja) diiktiraf sebagai salah satu daripada lapan golongan pembahu ummah.

Menurutnya juga alam pekerjaan yang memerlukan kita berada dalam kalangan majikan, rakan setugas dan pelanggan selama lapan jam bahkan adakalanya lebih masa.

“Sudah pasti mencipta satu suasana tersendiri dalam sebuah komuniti dan sektor tertentu yang eksklusif.

“Kondisi di tempat kerja boleh menjadi sebuah taman rekreasi yang menyeronokkan apabila sebuah keluarga kerja bersikap profesional, mempraktikkan semangat kebersamaan dan saling menghormati peranan masing-masing dengan kerjasama yang mantap dan jitu,” ujarnya.

Sebaliknya kata beliau pejabat atau pun kilang bertukar menjadi lokasi paling ngeri sekiranya ada dalam kalangan warganya yang menjadi toksik atau dedalu.

“Marilah sama-sama kita menjadi pekerja yang bermaruah dan berintergriti yang mengamalkan budaya Pengurusan Ihtirafi kerana niat kita bekerja yang sebenarnya ialah mendamba pahala bukan imbuhan material semata-mata,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/5/2022

- Advertisement -