50 anak perantau diraikan DPP Permatang Pauh

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

PERMATANG PAUH: Menjelang sambutan Aidilfitri hampir 50 anak perantau yang memberhentikan kenderaan mereka di stesen Petronas Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) diraikan dalam program ‘Balik Raya’.

- Advertisement -

Program terbabit merupakan anjuran Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Permatang Pauh yang diadakan pada petang Jumaat, baru-baru ini.

Menurut Ketua Dewan Pemudanya, Muhammad Aiman Shamsul Bahrin, mereka meraikan dan menyantuni anak perantau yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing dengan mengedarkan kuih raya.

“Semoga anak-anak perantau yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman selamat sampai ke tempat dituju dan berhati-hati ketika memandu di jalan raya.

“Bagi yang baru nak memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman, pastikan kenderaan sudah diperiksa dan berada dalam keadaan baik sebelum bertolak ke kampung. Hendaklah sentiasa mengutamakan keselamatan anda, keluarga dan pengguna jalan raya lain.

“Pastikan memandu dalam keadaan baik, jika mengantuk, berehat dahulu,” ujar Muhammad Aiman kepada Harakahdaily.

Program yang diadakan sekitar jam 6.30 petang dan selesai pada 7.15 petang turut disertai Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Md Jan, Yang Di-Pertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hasan, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh, Nor Hapiza Saad dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Kawasan Permatang Pauh, Zakaria Hamzah.

“Dewan Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh ingin mengucapkan selamat berpuasa dan manfaatkan 10 malam terakhir Ramadan yang berbaki dengan melakukan ibadah kepada Allah.

“Kami juga merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/5/2022

- Advertisement -