Yang lama dihargai, yang baharu disayangi

Program ziarah-menziarahi yang dianjurkan BPPNPP baru-baru ini.
- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

GEORGETOWN: Seramai 13 veteran PAS yang merupakan mantan pemimpin diraikan dalam satu program ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah di Pulau Pinang merangkumi Nibong Tebal, Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Tasek Gelugur dan Kepala Batas.

- Advertisement -

Program yang berlangsung pada 27 dan 28 April disertai seluruh barisan ahli jawatankuasa harian Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang (BPPNPP) yang turut merupakan penganjur program terbabit.

Rombongan tersebut diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Yang Dipertua PAS Kawasan-Yang Dipertua PAS Kawasan, dan As-Sabiqun PAS Pulau Pinang.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menghadiahkan doa kepada veteran PAS yang terlantar sakit kerana keuzuran.

Menurut Ustaz Muhammad Fauzi, mengenangkan jasa mantan pemimpin terdahulu kepada PAS Pulau Pinang, pihaknya menyediakan buah tangan berupa hamper dan duit raya kepada anggota veteran mantan pemimpin PAS.

Selain bertanyakan khabar mengenai kesihatan anggota veteran yang diziarahi, mereka berkongsi pengalaman dan mengimbau kembali kenangan lalu sewaktu masih sihat dan aktif untuk berjuang bersama PAS sebagai barisan hadapan kepimpinan negeri yang telah dilalui dengan pelbagai cabaran onak dan duri.

Ia sebuah kenangan terindah yang pasti tidak akan dilupakan kerana tanpa yang dahulu mustahil akan ada yang sekarang ini malah yang terdahululah menjadi rujukan bagi setiap perjalanan yang harus dilalui oleh kepimpinan pada hari ini.

Ustaz Muhammad Fauzi cuba menangkap gambar salah seorang veteran PAS yang diziarahi sambil diperhatikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah.

“Saya mengharapkan agar ziarah ini dapat mengeratkan lagi hubungan BPPNPP dengan kepimpinan dahulu yang banyak menyumbang jasa kepada jemaah khususnya di Pulau Pinang.

“Sangat tak terhitung jasa, bakti dan sumbangan mereka dalam menggerakkan jemaah ini,” ujar Ustaz Muhammad Fauzi.

Beliau menitipkan pesanan kepada pemimpin PAS Pulau Pinang yang menyertai program itu selama dua hari berturut-turut agar mengambil semangat kepimpinan daripada pemimpin terdahulu supaya mereka mampu mengharungi setiap cabaran yang bakal ditempuhi dalam perjalanan memimpin jemaah Islam di masa depan.

“Saya doakan agar dengan keberkatan Ramadan ini semua assabiqun-assabiqun diberi kekuatan dan kesihatan yang baik dalam memberi nasihat dan berbakti untuk jemaah ini. Insya-Allah,” kata Ustaz Muhammad Fauzi.

Mohd Yusni berkata, jasa pemimpin dahulu harus sentiasa dikenang oleh generasi muda hari ini dalam memacu dan menggerakkan perjuangan yang mereka wariskan.

“Semuanya menjadi mata rantai bagi memastikan kelangsungan perjuangan Islam. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkatikan kehidupan mereka dan diberikan kesihatan yang baik serta kebahagian dunia dan akhirat.

“Ingatlah! Bekalan mati bukan dengan banyaknya harta yang kita miliki, tapi seberapa banyak kita memberi,” ujar Mohd Yusni. – HARAKAHDAILY 29/4/2022

- Advertisement -