MAIWP agih RM35.8 juta sepanjang Ramadan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah agihan bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mencecah RM35.8 juta sepanjang Ramadan.

Dari jumlah itu, sebanyak RM24.4 juta diagihkan untuk Bantuan Aidilfitri, RM9.46 juta diagihkan melalui Bantuan Ihya Ramadan, dan RM1.03 juta melalui Sumbangan Tabung Kebajikan Perubatan Hospital.

Manakala sebanyak RM82,800 disalur melalui Program Ramadan MAIWP bersama Komuniti dan sebanyak RM758,000 melalui Program Agihan Ayam Segar kepada asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad berkata, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan pungutan zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun ini.

Katanya, bermula Januari sehingga Mac tahun ini, sebanyak RM162 juta zakat dikutip, sekaligus mencatatkan peningkatan 12 peratus berbanding RM145 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Saya yakin dan percaya jika jumlah kutipan terus meningkat, dan rezeki dalam kalangan pembayar zakat bertambah, kita dapat mencapai sasaran kutipan RM1 bilion, ia bukan benda mustahil, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Iftar bersama Asnaf di Balai Felda, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

Tambah beliau, MAIWP juga mengagihkan bantuan sebanyak RM800 kepada 30,300 penerima bantuan kewangan bulanan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.

Dalam masa sama, MAIWP juga memberikan bantuan Aidilfitri berjumlah RM300 kepada 240 orang pelajar Darul Kifayah, 400 orang pelajar Institut Kemahiran Baitul Mal, dan 30 orang pelatih Dar Assaadah.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi Bantuan Aidilfitri MAIWP 2022 adalah sebanyak RM24.4 juta.

Pada majlis sama, sebanyak RM200 wang tunai dan barang sumbangan akan diagihkan kepada 150 ketua keluarga yang disumbangkan oleh pemegang wakalah individu dan syarikat.

Selain itu, MAIWP juga merekodkan penyerahan zakat perniagaan syarikat bagi tahun 2022 sebanyak RM18.7 juta.

Daripada jumlah itu, Lembaga Tabung Haji menyerahkan sebanyak RM9.09 juta, Bank Islam Malaysia Berhad (RM5.96 juta), Perbadanan aharta Intelek Malaysia (RM2.07 juta), Kumpulan Sapura Secured Technologies (RM821,770), dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia 2 Bhd (RM740,000). – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -