Rusia dakwa AS, Poland rancang pecahkan Ukraine

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy (kanan) dan Presiden Poland, Andrzej Duda (kiri)
- Advertisement -

LONDON: Ketua perisik asing Rusia menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Poland, merancang mendapatkan pengaruh di Ukraine, dakwaan yang dinafikan oleh Warsaw sebagai maklumat salah yang bertujuan menyemai rasa tidak percaya di kalangan penyokong Kyiv.

Ketua Perkhidmatan Perisikan Asing (SVR) Rusia, Sergei Naryshkin, memetik risikan yang tidak diterbitkan, menunjukkan AS dan sekutu NATO, Poland, merancang untuk mengembalikan kuasa Poland ke atas sebahagian barat Ukraine.

- Advertisement -

“Mengikut risikan SVR, Washington dan Warsaw sedang mengusahakan rancangan mewujudkan kawalan ketat ketenteraan dan politik Poland ke atas kawasan sejarahnya di Ukraine,” kata Naryshkin dalam satu kenyataan jarang dikeluarkan oleh SVR.

Poland menafikan dakwaan itu yang disifatkan sebagai maklumat palsu yang disebarkan oleh Moscow.

“Pembohongan mengenai dakwaan bahawa Poland menyerang kawasan barat Ukraine berulang-ulang sejak beberapa tahun lalu,” kata jurucakap Penyelaras Perkhidmatan Khas Poland, Stanislaw Zaryn.

“Matlamat propaganda Rusia adalah untuk mewujudkan ketidakpercayaan antara Ukraine dan Poland, sekali gus menjejaskan kerjasama kedua-dua negara,” katanya.

Dari segi sejarah, Poland pernah memerintah beberapa wilayah yang kini menjadi sebahagian Ukraine dengan wilayah Barat, termasuk bandar Lviv diserap ke dalam Kesatuan Soviet pada akhir Perang Dunia Kedua.

SVR berkata, AS sedang berbincang dengan Poland untuk mewujudkan pasukan pengaman Poland tanpa mandat NATO yang akan memasuki bahagian barat Ukraine yang risiko konfrontasi dengan tentera Rusia adalah rendah.

Selepas kejatuhan Soviet Union pada 1991, SVR yang mengambil alih sebahagian besar tanggungjawab pengintipan asing KGB era Soviet, tidak mengemukakan bukti dakwaan itu.

Poland adalah antara penyokong kuat Ukraine dalam penentangan terhadap pencerobohan Rusia, menghantar senjata merentasi sempadan dan menerima kira-kira tiga juta pelarian Ukraine.

Seorang Ahli Parlimen Rusia yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Majlis Persekutuan, Senator Andrei Klimovjuga, semalam juga mendakwa Poland merancang menguasai sebahagian Ukraine, tetapi tidak memberikan sebarang bukti.

Rusia turut membayangkan bahawa konflik di Ukraine boleh berakhir dengan pemecahan negara itu.

Seorang sekutu rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin, berkata minggu ini bahawa Ukraine semakin menuju kehancuran menjadi beberapa negeri kerana usaha AS menggunakan Kyiv untuk melemahkan Rusia.

Rusia melabelkan tindakan di Ukraine sebagai operasi khas untuk melucutkan senjata Ukraine dan melindungi daripada fasis. Ukraine dan Barat mendakwa Rusia menggunakan alasan palsu untuk melakukan pencerobohan tanpa sebarang provokasi. – REUTERS

- Advertisement -