Kelantan sasar 1 juta pelancong tahun ini

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjangkakan lebih sejuta pelancong dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke negeri itu sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, sasaran itu mampu dicapai selepas kerajaan menetapkan negara berada di fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu.

“Keadaan bertambah baik apabila seluruh sektor termasuk pelancongan sudah mula dibuka secara penuh oleh kerajaan.

- Advertisement -

“Kerana itu kami yakin sasaran untuk menerima kedatangan sejuta pelancong dalam tempoh setahun mampu dicapai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Perbadanan Muzium Negeri Kelantan Bersama Media di Kota Darulnaim malam tadi.

Menurutnya, kehadiran pelancong juga mampu memulihkan semula ekonomi negeri selepas terkesan akibat serangan Covid-19 sejak Mac 2020.

Beliau berkata, semua hotel di Kelantan yang sebelum ini terkesan dengan Covid-19 kini sudah mula penuh dengan tempahan pelanggan terutamanya pelancong. .

Ujanya juga walaupun pada bulan Ramadan ramai pelancong berkunjung ke negeri itu.

Md Anizam juga berkata, kerajaan negeri berharap pintu sempadan di negeri itu dapat dibuka dalam masa terdekat.

“Pembukaan pintu sempadan sekali gus membolehkan pelancong antarabangsa khususnya dari Thailand datang ke Kelantan.

“Melalui cara ini sasaran 1 juta yang ditetapkan itu mampu dicapai dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Menurutnya, Kelantan sebelum ini dijadikan tempat transit oleh pelancong tempatan dan antarabangsa untuk ke destinasi pelancongan seperti Pulau Perhentian dan sebagainya.

Md Anizam mengakui kepulangan perantau sempena sambutan Aidilfitri juga diharap mampu melonjakkan lagi ekonomi negeri khususnya dalam sektor pelancongan.

Beliau bagaimanapun mengingatkan anak perantau dan keluarga masing-masing sentiasa berwaspada kerana negara masih belum bebas daripada Covid-19. – HARAKAHDAILY 29/4/2022

- Advertisement -