Kelab Velfire Alphard Kelantan perluas aktiviti kebajikan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Kelab Pemilik Velfire Alphard Kelantan akan memperluaskan program kebajikan dengan membaik pulih rumah asnaf yang didapati usang.

Presidennya, Shaifful Zaman Muhamad berkata, sebelum ini pihaknya menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf dengan menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan dan barangan keperluan harian.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya untuk masa hadapan pihaknya merancang untuk membantu anggota masyarakat yang daif dengan membaiki rumah mereka.

“Kebetulan perbincangan berhubung perkara itu dibuat bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran kelab berkenaan di sebuah restoran semalam.

Pada majlis itu seramai 60 pelajar yang terdiri anak-anak yatim termasuk pelajar KTPM menerima duit raya sumbangan kelab tersebut.

Beliau juga berkata, majlis berbuka puasa itu pertama kali dianjur sejak pandemik Covid-19 melanda negara bermula 2020.

Bagaimanapun, tambahnya sumbangan kepada golongan asnaf tidak pernah terhenti dengan mengumpulkan dana daripada ahli kelab.

“Alhamdulillah kita bersyukur masyarakat Kelantan yang dermawan khususnya ahli kelab bagi membuat kerja-kerja kebajikan,” ujarnya.

Malah katanya, ahli-ahli turut mengumpul dana bagi membantu mangsa kebakaran di Tumpat baru-baru ini.

Katanya, dengan kekuatan ahli seramai 553 orang, tahun lepas pihaknya berjaya mengumpul dana sebanyak RM12,000 dan sumbangan diagih kepada golongan asnaf di beberapa jajahan antaranya, Tumpat, Bachok, Machang. – HARAKAHDAILY 29/4/2022

- Advertisement -