Tiga isteri tiga contoh

- Advertisement -

SAIDINA Umar R.A bertanya Rasulullah, apa harta yang patut kami simpan? Jawab Baginda:

- Advertisement -

ليتَّخِذْ أحدُكُم قَلبًا شاكرًا، ولِسانًا ذاكرًا وزَوجةً مُؤْمِنَةً تعينُ أحدَكُم علَى أمرِ الآخِرةِ”

“Simpanlah hati yang sentiasa syukur, lidah yang sentiasa berzikir dan isteri beriman yang membantu urusan akhiratmu.”

[Hadis Riwayat Ibn Majah]

Sekadar metafora

Jangan pula ada yang kata Rasulullah S.A.W samakan isteri dengan harta. Itu cuma metafora. Latar belakang hadis ini, lepas turun ayat larang simpan harta karun, Saidina Umar tanya Rasulullah habis itu nak simpan harta apa. Itulah yang Nabi jawab.

Digambarkan hati, lidah dan isteri umpama harta dari sudut keuntungannya. 3 perkara tersebut dianggap sebagai modal pelaburan. Kalau miliki, dijamin untung padu. Hati yang sentiasa bersyukur dan lidah yang selalu berzikir akan jadi mesin pencetak pahala sampai kita mati.

Begitu juga isteri. Kalau dia beriman, dan sentiasa mempermudahkan jalan kita membuat urusan akhirat, ia adalah sebaik-baik modal pelaburan kita untuk akhirat.

Urusan akhirat bermaksud segala urusan yang kita buat untuk mendapat ganjaran di akhirat. Tak kiralah amal fardi ke, amal jamaie atau amal ijtimaie. Ibadat ke, muamalat ke, jihad ke tak kisah. Selagi tujuan utama adalah akhirat, maka isteri yang bersifat membantu ini sangat menguntungkan.

Kita jelaskan lagi menerusi contoh isteri-isteri Rasulullah S.A.W.

Khadijah

Dia cinta pertama Rasulullah S.A.W. Baginda tak pernah duakannya. Dia hadir saat Baginda sangat perlukan peranan insan sepertinya.

Cinta Rasulullah pada Khadijah bukan kerana keturunan atau hartanya. Kalau tidak, sudah tentu Khadijah akan terus dilupakan sebaik dia meninggal. Tapi Rasulullah sentiasa mengingati kekasih pertamanya itu sampai kalau orang beri Baginda hadiah, dia akan suruh beri juga kepada kawan baik (best friend forever) Khadijah yang masih hidup.

Cinta Baginda adalah kerana peranannya membantu urusan akhirat Rasulullah. Dia menjadi tongkat utama permulaan karier dakwah Rasulullah. Jasanya sangat besar hingga Baginda sendiri membuat pengakuan:

آمنت بى إذ كفر بى الناس، وصدقتنى إذ كذبنى الناس، وواستنى بمالها إذ حرمنى الناس، ورزقنى الله عز وجل ولدها إذ حرمنى أولاد النساء

“Dia beriman padaku ketika orang lain kufur padaku. Dia membenarkan aku ketika orang lain mengata aku berbohong. Dia mencurahkan hartanya padaku ketika orang lain menyekatnya. Dan Allah rezekikanku anak daripadanya, sedang aku tiada diberikan anak-anak perempuan lain.”

Aisyah

Bila cerita mengenai Aisyah, ramai kaitkan dia dengan kejelitaan. Dialah satu-satunya isteri yang Rasulullah kahwini berstatus anak gadis dara. Gelarannya adalah Humaira, kerana pipinya kemerahan jambu (pinkish). Memang lawa.

Tapi bukan jelitanya yang buat Rasulullah jatuh cinta. Kalau tidak, dari awal lagi Baginda akan cari isteri-isteri muda belaka.

Seperti Khadijah, cinta Baginda pada Aisyah juga adalah kerana peranannya membantu urusan akhirat Rasulullah. Dia menjadi penasihat dalaman Rasulullah. Dia antara wanita yang dikurnia akal yang sangat pintar.

Sangat banyak hadis-hadis yang diriwayat Aisyah. Boleh kata dialah wanita paling banyak meriwayat hadis dari lidah Baginda. Dengannya, Rasulullah banyak berkongsi hal agama serta politik. Banyak juga perbincangan isu besar antara mereka berdua. Termasuk soal pengganti jawatan Baginda.

Ummu Salamah

Salah seorang isteri tercinta Baginda adalah Ummu Salamah atau Hindun binti Abi Umayyah. Dia tak berapa terkenal seperti Khadijah atau Aisyah. Tapi peranannya juga besar dalam hidup Baginda.

Seorang wanita yang sangat kental. Berhijrah dari Makkah ke Madinah dengan hanya berteman anak kecilnya. Dia dikahwini Rasulullah selepas suaminya Abu Salamah meninggal.

Ketekalan hatinya membuat dirinya sentiasa diajak menemani Baginda untuk musafir perang. Dia juga memiliki ketenangan yang mampu menenangkan Rasulullah saat Baginda gundah mengurus karier dakwahnya. 

Contohnya dalam Sulh Hudaibiah. Rasulullah awalnya bersedih dengan sikap orang Islam yang seolah tidak mahu ikut cakap Baginda yang minta umrah dibatalkan. Tapi Ummu Salamah beri semangat agar Rasulullah S.A.W teruskan keputusannya, dan terus laksanakannya dengan bertahallul, bayar dam dan sebagainya. Nanti orang Islam akan ikut juga.

Rasulullah ikut cadangan itu. Dan ternyata, akhirnya orang Islam akur dan ikut.

Bukan sekadar tiga

Tiga isteri ini sebagai contoh sahaja. Boleh kata semua isteri Nabi membantu urusan akhirat Baginda. Hafsah, Ummu Hani, Safiyyah, ramai lagi. Cuma kita nak sebut peranan utama yang perlu ada secara minimum bagi mencukupkan keperluan seorang suami, terutama suami yang berada di jalan akhirat.

Pertama, peranan khadijah sebagai ibu kepada enam dari tujuh anak Nabi. Menjaga rumahtangga supaya Rasulullah tenang menjalankan dakwah. 

Dia boleh dianggap sebagai pengurus bagi Nabi. Kalau Nabi CEO, khadijah adalah COO.

Itu peranan isteri yang perlu difahami. Mereka pengurus rumahtangga ini. Cuma realiti zaman moden ini perlu diubahsuai sedikit kerana suami isteri sama-sama bekerja sekarang. Ada peranan isteri yang perlu suami bantu kerana isteri sudah bantu peranan suami cari nafkah. Give and takelah kan.

Kedua, peranan Aisyah sebagai teman perbincangan. Boleh dianggap sebagai menteri. Kalau Nabi seorang raja, Aisyah adalah Bendahara.

Itu juga peranan isteri. Suami perlukan pandangan isteri sebelum buat keputusan. Mereka ada pandangan yang mungkin lelaki tak nampak. Cara fikir dua jantina ini berbeza. Perlu diharmonikan agar mendapat keputusan terbaik.

Ketiga, peranan Ummu Salamah sebagai memenuhi keperluan rohani sang suami. Boleh dianggap seperti personal assistantlah. Tapi bukan sekadar jaga jadual. Kena jadi pendamping sepanjang karier.

Suami perlu orang di sisi yang memahami Baginda. Tempat meluah, tempat mengadu penat, juga tempat bermadu kasih. Sentiasa ada bila masa yang diperlukan.

Kombinasi peranan inilah yang membawa kebahagiaan bagi seorang suami, sekali gus melicinkan urusan akhirat mereka. Alangkah baiknya jika kehebatan Khadijah, kepintaran Aisyah dan kesetiaan Ummu Salamah mampu dikuasai oleh sang isteri. 

Kepada suami, bersyukurlah dengan siapa jua isteri yang dimiliki.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -