Syurga dikurniakan kepada mereka yang taat

- Advertisement -

AL-QURAN telah menerangkan mengenai syurga dan keadaan di dalamnya kerana manusia tidak dapat mengetahuinya dengan pancaindera yang dikurniakan kepada mereka tanpa perkhabaran daripada Allah Taala. Al-Quran menjelaskan mengenai syurga sebagai satu bentuk dorongan kepada kita agar sentiasa berusaha dan beramal agar menjadi penghuninya. 

- Advertisement -

Bulan Ramadan adalah saat terbaik meningkatkan amalan kerana mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan pada bulan yang mulia ini sehingga ke penghujung bakal mendapat ganjaran berganda dan terampun dosa lantas melayakkan diri memasuki syurga Allah. Syarat utama kelayakan ke syurga ialah Takwa dan ia adalah matlamat utama kewajipan berpuasa iaitu melahirkan manusia bertakwa.

Allah Taala berfirman dalam surah Al-Zumar ayat 73:

وَسِيْقَ الَّذِيْنَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا ۗحَتّٰىٓ إِذَا جَاۤءُوْهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلٰمٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوْهَا خٰلِدِيْنَ

“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan dibawa ke dalam syurga berombong-rombongan (pula) sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: “Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu. Berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya””

FirmanNya dalam surah Al-Zariyat ayat 15-19:

إِنَّ الْمُتَّقِيْنَ فِيْ جَنّٰتٍ وَّعُيُوْنٍۙ اٰخِذِيْنَ مَآ اٰتٰىهُمْ رَبُّهُمْ ۗ إِنَّهُمْ كَانُوْا قَبْلَ ذٰلِكَ مُحْسِنِيْنَۗ كَانُوْا قَلِيْلًا مِّنَ الَّيْلِ مَا يَهْجَعُوْنَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُوْنَ وَفِيْٓ أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّاۤىِٕلِ وَالْمَحْرُوْمِ

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air – mata air, sambil menerima segala pemberian tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar. Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.”

FirmanNya dalam surah Al-Hijr ayat 46-48:

اُدْخُلُوْهَا بِسَلٰمٍ اٰمِنِيْنَ وَنَزَعْنَا مَا فِيْ صُدُوْرِهِمْ مِّنْ غِلٍّ اِخْوَانًا عَلٰى سُرُرٍ مُّتَقٰبِلِيْنَ لَا يَمَسُّهُمْ فِيْهَا نَصَبٌ وَّمَا هُمْ مِّنْهَا بِمُخْرَجِيْنَ

“(Dikatakan kepada mereka) “Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman (Sejahtera dari bencana dan aman dari malapetaka). Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap di atas tilam. Mereka tidak merasa lelah di dalamnya dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya.”

FirmanNya dalam surah Al-Tur ayat 17-18:

إِنَّ الْمُتَّقِيْنَ فِيْ جَنّٰتٍ وَّنَعِيْمٍۙ فَاكِهِيْنَ بِمَآ اٰتٰىهُمْ رَبُّهُمْۚ وَوَقٰىهُمْ رَبُّهُمْ عَذَابَ الْجَحِيْمِ

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan, mereka bersuka ria dengan apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka dan Tuhan mereka memelihara mereka dari azab neraka.”

Bagi orang yang beriman adalah menjadi satu kewajipan kepada mereka mengejar segala janji-janji Allah Taala dengan melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Golongan yang dikira layak menjadi penghuni syurga ialah mereka yang mentauhidkan Allah, ikhlas melakukan ibadah keranaNya, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, memelihara adab-adab mulia, menjaga tutur kata, menghormati ibu bapa serta berkhidmat untuk keduanya, menjaga silaturrahim, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. 

Di samping itu perbuatan mensyirikkan Allah, meninggalkan solat, tidak berpuasa, berjudi, berzina, minum arak, menuturkan kata-kata nesta dan derhaka kepada kedua ibu bapa adalah penghalang kelayakan menjejakkan kaki ke syurga Allah sebaliknya melayakkan seseorang menjadi penghuni neraka jahannam.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Maidah ayat 72: 

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِيْنَ قَالُوْٓا إِنَّ اللّٰهَ هُوَ الْمَسِيْحُ ابْنُ مَرْيَمَ ۗوَقَالَ الْمَسِيْحُ يٰبَنِيْٓ إِسْرَاۤءِيْلَ اعْبُدُوا اللّٰهَ رَبِّيْ وَرَبَّكُمْ ۗ إِنَّهٗ مَنْ يُّشْرِكْ بِاللّٰهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللّٰهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوٰىهُ النَّارُ ۗوَمَا لِلظّٰلِمِيْنَ مِنْ اَنْصَارٍ

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih putera Maryam”, padahal Al-Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu”. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun.”

Semoga bulan Ramadan ini kita dapat terus meningkatkan amalan kita dan berkekalan sehinggalah tamatnya Ramadan. Berdoalah agar ibadah yang kita lakukan sepanjang Ramadan ini dapat menjadi bekalan secukupnya untuk melayakkan diri kita menjadi penghuni syurga. Kerana kejayaan hakiki bagi seorang manusia ialah mendapat anugerah syurga Allah di akhirat kelak.

Ya Allah! Ya Rahman! Ya Kareem! Dengan segala kelemahan dan kekurangan ibadah kami. Kami bermohon kepadaMu agar lindungi kami daripada azab neraka dan masukkan kami ke dalam syurgaMu.

ZURIDAN MOHD DAUD AL-TEMINIE – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -