Kakitangan Halaqat jadi ejen kerajaan dalam masyarakat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Golongan pendakwah di bawah kerajaan negeri yang terdiri daripada pegawai dan pembantu Halaqat, guru-guru al Quran serta fardu ain menjadi ejen kerajaan dalam masyarakat.

Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Kota Bharu Azhari Ab Rahman berkata, mereka memain peranan penting bagi menjelaskan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat melalui siri-siri kuliah yang diadakan.

- Advertisement -

Katanya, hampir setiap malam mereka menyampaikan kuliah agama di masjid, surau dan musala.

“Di samping menyampaikan kuliah mereka juga boleh selitkan penerangan mengenai dasar-dasar kerajaan negeri dan isu-isu semasa kepada jemaah yang hadir,” katanya di sini.

Sebelum itu beliau menghadiri program Tadarus al Quran melibatkan pegawai dan kakitangan Halaqat Dun Bunut Payung, Tanjung Mas dan Kota Lama.

Pada program tersebut beliau menyampaikan bakul Ramadan dan hamper yang disumbangkan syarikat Sixma Takwa Dream Team iaitu Agensi Takaful di bawah Syarikat Prudential dan Syarikat Zara Group.

Azhari juga berkata, kakitangan Halaqat terdapat di seluruh Kelantan menjadi jentera bergerak bagi menjelaskan perkembangan kerajaan dan menjawab isu-isu semasa yang timbul.

Menurutnya juga program tadarus tersebut diadakan untuk memastikan setiap kakitangan Halaqat benar-benar memahami mesej ayat yang ditadabur kerajaan negeri pada bulan Ramadan.

“Program tadarus dianjurkan kerajaan negeri memasuki tahun ke-30 memperincikan surah-surah berbeza setiap tahun, sesuai dengan perkembangan semasa yang berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -