Rasai keberkatan sahur

- Advertisement -

DALAM risalah Wasiat Al-Rasul Fi Al-Sahur tulisan Ghadah Bahansi menyatakan bahawa Nabi S.A.W melewatkan sedikit waktu sahur hampir kepada waktu Subuh lebih kurang dalam tempoh dua puluh minit dengan tidak terlalu awal juga terlalu lewat sangat:

- Advertisement -

فتوقيت سحوره صلى الله عليه وسلم كان قريبا من الفجر حيث يفرغ منه وبينه وبين صلاة الفجر ما يوازى نحو عشرين دقيقة بتوقيتنا أو ربما أقل، وكان يتسحر مع إحدى زوجاته يأكل قليلا من الطعام، ربما كان يتسحر على تمرات أو شيء قليل من الطعام مع شرب الماء، وأحيانا كان يتسحر مع بعض الصحابة، ففي الصحيح أنه تسحر يوما هو وزيد بن حارثة رضي الله عنه

“Maka waktu sahur Nabi S.A.W adalah hampir dengan waktu Subuh sekira-kiranya beza antara waktu sahur dan solat Subuh sekitar dua puluh minit mengikut waktu kita pada hari ini atau mungkin waktunya berkurangan lagi. Adalah Nabi S.A.W bersahur bersama salah seorang daripada isteri-isterinya, Baginda S.A.W menjamah sedikit sahaja makanan. Boleh jadi Baginda bersahur dengan beberapa biji tamar atau sedikit daripada makanan lain dengan air. Kadang-kadang Baginda S.A.W bersahur bersama beberapa orang Sahabatnya, sebagaimana dalam hadis sahih, Baginda suatu ketika bersahur bersama Zaid bin Harithah R.A.”

Waktu sahur itu sememangnya luas namun melewatkannya adalah sunnah. Dr. Muhammad Zuhaili menyebut dalam Al-Mu’tamad Fi Al-Fiqh Al-Syafie bahawa waktu sahur itu adalah di antara pertengahan malam dan terbit fajar serta ianya dikira bersahur sama ada dengan makan yang banyak atau sedikit dan ia dikira bersahur juga dengan hanya minum air. Dan disunatkan supaya melewatkan sahur. Sementara Imam Nawawi dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab menyatakan telah bersepakat Ashab Mazhab Syafie dan para ulamak selainnya bahawa sahur itu sunnah dan melewatkannya adalah afdhal.

Bangkitlah bersahur walaupun dalam keletihan dan bersahurlah secara beramai-ramai sama ada bersama keluarga atau rakan taulan. Keberkatan sahur itu akan bertambah dengan semangat bersahur yang menepati sunnah. Kesannya pada siang Ramadan, badan akan sentiasa cergas, tidak mudah lapar dan kehausan dan terasa ringan tubuh untuk beribadah. Di akhir Ramadan ini, bolehlah sekali sekala bersahur di masjid bersama para jemaah dalam misi menyempurnakan iktikaf memburu Lailatul Qadar.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -