KADA, kerajaan negeri pulih 100 hektar tanah terbiar

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

KOTA BHARU:
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan kerajaan negeri Kelantan akan memulihkan tanah terbiar seluas 100 hektar di Tumpat dalam tempoh terdekat.

Pengerusi KADA Dato’ Kamaruddin Md Nor berkata, kawasan itu terletak bersempadanan antara jajahan Tumpat dan Pasir Mas.

- Advertisement -

Katanya, kerja-kerja pemulihan tanah terbabit dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun.

“KADA akan mula melaksanakan kerja-kerja pemulihan tanah terbabit selepas menerima peruntukan daripada kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama petugas media di sebuah hotel di sini malam tadi.

Menurutnya juga perjanjian persefahaman mengenainya ditandatangani antara KADA dan Perbadanan Pertanian Kelantan pada Mac lepas.

Kata beliau majlis bersejarah tersebut turut disaksikan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Yaacob ketika melawat Kelantan.

Kamaruddin juga berkata, KADA mempunyai kepakaran untuk memulihkan tanah-tanah terbiar dan mempunyai tenaga kerja yang mencukupi.

“Usaha itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menampung kekurangan beras bagi keperluan negara.

“Antara punca berkurangan tanah pertanian antaranya sehingga sekarang sebanyak 10,000 hektar bertukar status daripada pertanian kepada lot kediaman.

“Sebagai contoh banyak sawah padi di Bandar Baru Tunjong dibangunkan dengan projek perumahan, pusat membeli belah, pejabat-pejabat kerajaan dan kawasan industri,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -