Suu Kyi dihukum penjara 5 tahun kerana rasuah

- Advertisement -

NAYPYITAW: Mahkamah negara ini yang diperintah oleh tentera menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, selepas disabitkan kesalahan dalam kes pertama daripada 11 kes rasuah yang dikenakan terhadapnya.

Pemenang Hadiah Nobel yang memimpin Myanmar selama lima tahun sebelum dipaksa menyerahkan kuasa dalam rampasan kuasa pada awal 2021, didakwa bagi sekurang-kurangnya 18 kesalahan, yang jika hukuman itu digabungkan boleh dipenjara sehingga 190 tahun jika sabit kesalahan.

- Advertisement -

Hakim membuat keputusan itu sejurus selepas mahkamah bersidang, kata sumber yang enggan dikenali kerana perbicaraan diadakan secara tertutup, manakala maklumat terhad.

Tumpuan kes ini adalah berhubung dakwaan bahawa Suu Kyi, 76, menerima 11.4 kilogram emas dan bayaran tunai sebanyak AS$600,000 daripada anak didiknya yang kemudian menuduhnya, iaitu bekas Ketua Menteri Yangon, Phyo Min Thein.

Suu Kyi menafikan dakwaan itu yang disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Tidak jelas sama ada Suu Kyi akan dipindahkan ke penjara. Dia kini ditahan di lokasi yang dirahsiakan. Masyarakat antarabangsa pula menolak perbicaraan itu sebagai melucukan dan menuntut dia dibebaskan segera.

Tentera berkata Suu Kyi dibicarakan kerana melakukan jenayah dan sedang melalui proses sewajarnya oleh badan kehakiman yang bebas.

Sejak penahanannya pada pagi rampasan kuasa 1 Februari tahun lalu, Suu Kyi menghadapi pelbagai tuduhan jenayah, termasuk melanggar undang-undang pilihan raya dan rasuah, tuduhan yang dikatakan penyokongnya direka-reka untuk menghalang sebarang peluang kemunculan semula politiknya. – REUTERS

- Advertisement -