Cabaran Air Kelantan penuhi bekalan di Aidil Fitri

- Advertisement -

ESOK paling awal dijangka anak perantauan Kelantan akan bergerak pulang terutama mereka yang bekerja atau bermastautin di negeri-negeri bercuti Jumaat-Sabtu seperti Kedah, Johor dan Terengganu. 

Pun begitu, difahamkan sudah ada yang pulang lebih awal sejak Ahad lalu, termasuk ke destinasi-destinasi lain seluruh negara apabila dilaporkan trafik agak bertambah. Mungkin dah tak tertahan rindu kampung halaman setelah dua kali Aidil Fitri beraya di perantauan dek kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

- Advertisement -

Atau mungkin mahu menikmati baki Ramadan di kampung halaman dengan fokus beribadah dan bersama keluarga. Boleh jadi juga melaksanakan pelbagai urusan-urusan tertangguh, hatta mengembangkan lagi urusan lain sedia ada melibatkan perancangan masa depan kehidupan.

Apapun, kepulangan anak perantauan Kelantan ke bumi Serambi Makkah ini tentunya penuh dengan hasrat kegembiraan dan segala-galanya diharap lancar. Jumlah kenderaan yang akan masuk ke negeri ini untuk Aidil Fitri dianggar pihak Polis sebanyak 2 juta. Itu belum masuk jumlah penumpang kan?

Rasanya, dengan hampir 2 juta penduduk Kelantan sedia ada, ditambah pelancong dan tetamu bertandang hari raya dari negeri-negeri jiran, mungkin akan ada 6 juta orang di Aidil Fitri nanti. Meriah kan? Sememangnya semua berimpikan hari raya seperti itu.

Satu keperluan teramat penting bagi seluruh rakyat dan lebih-lebih lagi pada hari besar seperti itu tentulah bekalan air bersih. Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sejak 17 April lalu sudahpun menyatakan persediaan pihaknya terhadap bekalan sepanjang tempoh cuti Aidil Fitri. Kesediaan itu bersama jangkaan peningkatan tinggi permintaan selari pertambahan besar pulangnya anak perantauan.

Intervensi proaktif AKSB menyatakan operasi dengan kapasiti maksimum untuk pengeluaran bekalan air terawat keseluruhan sebanyak 519 juta liter sehari (JLH). Malah ada projek penggantian dan pemulihan yang dalam pembinaan juga dijangka siap sebelum Aidil Fitri dengan dapat menambah 14 JLH lagi. Ia menjadikan jumlah keseluruhan 533 JLH.

Secara umumnya, ia sangat mencukupi bagi kegunaan peribadi setiap 6 juta individu itu sekalipun, bahkan membolehkan keperluan di premis-premis atau sektor yang menggunakan air. Malah, komitmen AKSB itu juga dinyatakan dengan penyediaan 443 tangki statik (TS), sembilan lori tangki AKSB dan 22 lori tangki air kontrak (LAK). Ia kemungkinan dan kontigensi bagi kawasan bertekanan rendah atau pengguna mengalami gangguan bekalan.

AKSB turut menyenaraikan beberapa persediaan melibatkan tenaga kerja. Umumnya secara bersepadu, AKSB sangat bersedia dan bersungguh memberi perkhidmatan terbaik. Ia dilihat jaminan untuk bekalan air bersih terawat sampai bagi keperluan pengguna sepanjang Aidil Fitri nanti.

Sememangnya itu yang diharapkan di mana kemampuan atau keupayaan AKSB merealisasikan perbekalan tersebut sepanjang cuti perayaan kali ini menjadi indikator tahap perkhidmatannya selepas ini. Ia juga kayu ukur untuk meyakinkan rakyat dan anak perantauan betapa usaha menyediakan perkhidmatan keperluan ini berada di tahap atau landasannya.

Insya-Allah, perkhidmatan bekalan air bersih terawat yang menjadi isu di negeri ini sejak berpuluh-puluh tahun bakal sirna tidak lama lagi. Pun begitu pihak AKSB diharap benar-benar menyiapkan kesiapsiagaannya di tahap tertinggi bagi menterjemahkan makluman atas kertas yang telah dijanjikan. 

Terima kasih atas persiapan sedemikian di mana didoakan agar ia dikira sebagai amal ibadah dan jihad di sisi Allah S.W.T yang dilimpahi ganjaran pahala besar atas pengorbanan berbakti sebagai ‘frontliners‘ pada Aidil Fitri ini. Manakala bagi pengguna diharap sedia juga memilih pendirian untuk mengambil maklum kemungkinan boleh terjadi dan bersama memahami.

Kerana usaha-usaha sedang dilakukan masih berlangsung dan penuh cabaran, namun pihak negeri sedang menyediakannya dengan sebaik mungkin.

AHMAD MUJAHID AMAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 27/4/2022 

- Advertisement -