Yayasan Amal Malaysia bakal bina Masjid Cina

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

SEPANG:
Masjid seni bina Cina bakal dibina di Kompleks Pusat Dakwah Serantau (PDS) Labohan Dagang di bawah Yayasan Amal Malaysia dengan kos bernilai RM11 juta.

Presidennya, Hussin Ismail berkata keseluruhan bangunan PDS akan disepadukan dengan seni bina Melayu, Cina, India, rumah panjang Iban dan dusun.

- Advertisement -

“Tujuannya untuk menjadikan kepelbagaian pendekatan seni bina dalaman di kompleks dengan gambaran inilah rupa bentuk kepada fokus dakwah etnik-etnik utama serta etnik-etnik yang lain di seluruh negara kita dan juga di rantau Asia dan Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata, kompleks itu juga bakal dibina bersama asrama kedua yang menempatkan para dai’e.

“Jumlah dai’e yang bakal belajar di sini dengan bangunan kedua asrama nanti akan dapat menampung seramai 400 orang pelajar,” katanya ketika berucap di Majlis Iftar Perdana, di Movenpick Tabung Haji, di sini, malam tadi.

Hadir sama pada majlis tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad dan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Jamali Adnan.

PDS mula digagaskan pada tahun 2010, selepas 10 tahun Yayasan Amal Malaysia berada di pelbagai lokasi dunia.

Hari ini Yayasan Amal Malaysia berada di 47 negara, khususnya di kawasan-kawasan bencana dan kawasan yang memerlukan pertolongan hasil sokongan dan dermawan khusus daripada rakyat Malaysia.

Program penubuhan PDS yang pertama pada tahun 2010 dipengerusikan oleh Dato’ Dr Harun Din dan kepimpinan beliau diteruskan silih berganti sehingga ke hari ini.

PDS sudah membangunkan dan membeli seluas 9.6 ekar tanah, berbaki 2.5 ekar imarah dan yang sedang diusahakan pembayaran deposit pada masa ini seluas satu setengah ekar.

Menurut Hussin, keluasan tanah itu dihasratkan bagi menjadi pusat melatih para daie bagi rantau Asia Tenggara.

Hari ini, kata beliau, dai’e-dai’e yang datang sebahagian besar fokus kepada Malaysia khususnya orang asli di Sabah dan Sarawak di kawasan pendalaman yang minoriti Muslim juga daripada Filipina, Kemboja, Vietnam, Timur Laste dan Indonesia.

Beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun ini dai’e dilatih khusus untuk tujuan dakwah mendekati orang bukan Islam mengajak mereka kepada Islam.

“Kita tidak banyak fokus kepada Islah, pun Islah hanya dilakukan bagi kawasan-kawasan yang apabila pengislaman berlaku di situ.

“Dai’e yang kita latih mereka berada di situ dan mereka mengajar mualaf dan membangunkan Islam serta memperkenalkan Islam melalui pendekatan dakwah bil hal.

“Tidak banyak program ceramah, tidak banyak program pidato, yang mereka gerakkan melalui bicara dan pendekatan-pendekatan yang mereka pelajari dulunya satu tahun, kemudian satu tahun setengah, sekarang tiga tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, dalam tempoh tiga tahun, sebanyak 60 peratus adalah pengajian Islam dan 40 peratus pengajian vokasional, kemudiannya mereka dipulangkan ke pangkuan keluarga yang jauh di pendalaman.

“Kita kembalikan mereka ke masyarakat mereka kepada keluarga mereka dengan bahasa dan budaya di kalangan keluarga mereka.

“Mereka sangat selamat tidak ada kes yang tidak diingini yang berat sehingga ke hari ini, dan pendekatan ini menjadikan mereka mudah mengajak masyarakat mereka kepada Islam.

“Hari ini sudah lebih 2000 yang bersyahadah melalui usaha anak-anak dai’e yang kita latih di Pusat Dakwah Serantau,” katanya.

Beliau yang juga dikenali dengan panggilan Cikgu Hussin berkata, dai’e sebelum ini beragregatasi dalaman dan belajar dengan tahap diploma sangat praktikal di lapangan walaupun tidak mendapat agregatasi luar.

“Dalam tidak dapat agregatasi luar mereka juga ditawar untuk berkhidmat dengan beberapa institusi kerajaan, kita buat begitu supaya mereka tidak ditawarkan dengan sesuatu yang lumayan sehingga mereka tinggal tugas asal.

“Namun hari ini dalam tempoh sekarang untuk sesi yang akan datang kita sudah mula untuk menggerakkan pengiktirafan agregatasi luar iaitu dengan kerjasama baru sekarang, kolobrasi bersama dengan PLD khidmat di Sarawak,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -