Video lagu Assolatuwasallam sebar dakwah

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Ketika Alif Syukri dengan video tariannya menimbulkan kontroversi, seorang lagi Alif membuktikan medium yang sama boleh dimanfaatkan untuk menyebarkan dakwah.

Penyanyi Alif Satar dalam projek terbaharu bersama bandnya The Locos, menampilkan anggota kumpulan nasyid Raihan dengan antara lagu yang digarap ialah Assolatuwassalam.

- Advertisement -

Bagi peminat lagu nasyid, pasti masih ingat album Puji-Pujian pada 1996 yang mencatat jualan kasar lebih 750,000 unit di Malaysia sahaja. Kira-kira 200,000 unit terjual dalam tempoh dua bulan pertama selepas pelancaran dan 3.5 juta unit dijual di seluruh dunia.

Antara lagu dalam album itu ialah Assolatuwassalam yang kini dinyanyi semula dalam versi baharu menggabungkan Alif, The Locos dan Raihan.

Sebanyak lima lagu dirakam semula bersama Raihan dalam kolaborasi ketiga mereka ini dijadikan koleksi EP istimewa yang diberi nama The Sunnah The Better.

Namun, bukan lagu itu yang hendak ditonjolkan. Paling menarik ialah kandungan (content) video itu pada peringkat pengenalan dengan kisah sedekah.

Alif Satar bekerjasama dengan Raihan hasilkan The Sunnah The Better

Video itu memaparkan beberapa ahli kumpulan Alif & The Locos dan Raihan bersedekah di tabung masjid. Sebahagian lagi ahli datang dalam keadaan agak sedih kerana tidak mempunyai wang untuk sedekah. Alif kemudian memberitahu bahawa sebenarnya sedekah boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

Katanya, apa sahaja amal kebaikan yang dibuat boleh menjadi sedekah dan dalam konteks video itu seperti membersihkan dan mengemaskan masjid. Ini menyebabkan ahli kumpulan itu melipat sejadah, menyusun selipar dan kerusi.

Perluasan konsep sedekah dipersetujui oleh Ketua Jabatan Agihan dan Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Abdul Hadi Abd Majid, yang berpandangan bahawa dalam konteks bersedekah, seseorang itu tidak hanya boleh bersedekah dengan wang atau dalam bentuk barangan.

Katanya, harta bukanlah satu-satunya barangan untuk bersedekah. Bahkan banyak pilihan lain yang Allah berikan untuk bersedekah seperti memberikan idea dan motivasi, menolong orang mengangkat barang malah membuang kotoran di jalan turut dikira sebagai sedekah.

Menyusun selipar supaya keadaan masjid kemas juga amalan sedekah

“Membantu mangsa banjir di beberapa negeri jelas memperlihatkan amalan murni masyarakat dalam memberikan sumbangan tenaga,” katanya.

Sehubungan itu, pujian perlu diberikan terhadap aspek kandungan video Assolatuwassalam versi baharu kerana pencipta kandungan sudah pasti melakukan kajian sebelum diterapkan dalam karya seni.

Kandungan yang baik penting kerana artis sebagai individu yang menpunyai ribuan peminat dan klip video yang ditonton jutaan orang dengan mudah menjadi ejen dakwah yang berkesan dan impak yang meluas.

Bagi masyarakat, video beginilah yang perlu diviralkan dan menjadi trending. – HARAKAHDAILY 25/4/22

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!