Guru PASTI Maran dirai menjelang Aidil Fitri

- Advertisement -

MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak telah sampaikan sumbangan kepada guru PASTI Maran semasa majlis Iftar Perdana dan Sumbangan Hari Raya anjuran PASTI Kawasan Maran di Markas Tarbiyyah PAS Maran, Kampung Embun, Chenor, di sini semalam. 

- Advertisement -

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pengurusan PASTI kawasan kerana setiap tahun berjaya laksanakan majlis tradisi seperti iftar ini dan juga sampaikan sumbangan bagi menghargai guru-guru PASTI di Maran.

“Mereka (guru PASTI) ini adalah insan yang berjiwa cekal dan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam melayani karenah anak-anak didik mereka, juga bukan sedikit pengorbanan yang telah mereka curahkan selama ini jika nak dibandingkan gaji yang diterima.

“Oleh sebab itulah kita sentiasa memberi perhatian termasuk hulurkan sumbangan terutamanya ketika menjelang hari raya ini sebagai tanda kita tidak pernah lupa jasa bakti, penat lelah dan pengorbanan yang telah mereka curahkan selama ini,” ucap beliau.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Maran di turut menyeru supaya sama-sama mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan berdoa dan masa untuk banyak melakukan ibadah. 

“Perbanyakkanlah berdoa di bulan yang baik lagi mulia ini, kerana ini lah waktu terbaik dan makbul untuk kita berdoa, serta rebutlah peluang (beribadah) terutama 10 malam terakhir,” ucap beliau lagi. 

Sementara itu, Pengerusi PASTI Maran, Md Roduan Zainal Abidin berkata seramai 42 guru daripada 13 PASTI di seluruh Maran telah menerima sumbangan tersebut. 

“Selain majlis iftar, hari ini juga kita ada sampaikan sumbangan hariraya kepada guru-guru PASTI dan sumbangan itu dalam bentuk kewangan serta juga kit kuih raya.

“Antara sumber dana yang kami terima untuk majlis hari ini ialah dari ADUN (Chenor dan Luit) dan PAS Maran serta termasuk dari pihak Pasti Maran sendiri dan alhamdulillah, majlis hari ini telah berjalan dengan baik dan lancar, semoga dengan sumbangan ini membantu serta lebih menceriakan mereka,” katanya lagi. 

Turut sama hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman dan Setiausaha PAS Maran, Mohd Nasir Mohd Taib serta Ketua Penerangan, Fazil Azmi Nadzri dan Ketua Pemuda PAS Maran, Ustaz Abdul Latiff Abdul Haliff. – HARAKAHDAILY 22/4/2022

- Advertisement -