Jawatankuasa menteri Arab kecam Israel

- Advertisement -

AMMAN: Jawatankuasa Menteri Arab  (AMC) yang bertanggungjawab terhadap tindakan antarabangsa dalam menghadapi dasar dan langkah haram Israel di bandar Baitulmaqdis yang diduduki, mengecam tindakan Israel memecahbelahkan Masjid Al-Aqsa dalam apa cara sekalipun.

Sehubungan itu, AMC dalam kenyataannya mengutuk pencabulan Israel terhadap hak asasi jemaah Muslim di Masjid Al-Aqsa beberapa hari lalu, yang membawa kepada ratusan warga Palestin telah mengalami kecederaan, selain ditangkap. 

- Advertisement -

Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat tergempar di ibu negara Jordan, di sini pada Khamis (21 Apr) untuk membincangkan tentang pencerobohan Israel di Masjid Al-Aqsa itu; dan cara untuk menghentikannya dan memulihkan semula keamanan di tapak suci Islam berkenaan.

Dalam kenyataannya, AMC turut mengecam pelanggaran undang-undang antarabangsa susulan tindakan polis Israel menyerbu Al-Aqsa.

Jawatankuasa itu juga menegaskan bahawa Israel harus menghormati status quo sejarah dan undang-undang di Masjid Al-Aqsa, dan kembali kepada keadaan sebelum tahun 2000, untuk memastikan penghormatan bahawa masjid dengan keluasan 144 ekar itu adalah tempat ibadah khusus hanya untuk umat Islam Palestin.

Kenyataan itu juga meminta Komuniti Antarabangsa dan Majlis Keselamatan mengambil tanggungjawab dalam mengekalkan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, dan melaksanakan resolusinya berkaitan Baitulmaqdis.

Ia juga menekankan keperluan untuk Israel menghentikan amalan eskalasi di semua wilayah Palestin, menarik balik kepungan di Semenanjung Gaza, serta menghentikan semua langkah yang mengancam keselamatan dan keamanan dan yang melemahkan penyelesaian dua negara, dan peluang untuk mencapai keamanan menyeluruh . – Agensi

- Advertisement -