Peristiwa Pembukaan Kota Makkah (Fathu Makkah)

- Advertisement -

SATU lagi peristiwa besar yang jarang disebut di bulan Ramadan ialah peristiwa pembukaan kota Makkah. Ia berlaku pada tahun kelapan Hijrah. Pembukaan kota Makkah dilihat sebagai kejayaan penting dalam kebangkitan dan perkembangan syiar Islam kerana di sini terletaknya kiblat bagi umat Islam iaitu Kaabah.

- Advertisement -

Sempena pembukaan kota suci ini, Allah Taala telah berfirman:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِيْنًاۙ لِّيَغْفِرَ لَكَ اللّٰهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْۢبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهٗ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُّسْتَقِيْمًاۙ وَّيَنْصُرَكَ اللّٰهُ نَصْرًا عَزِيْزًا

“Sesungguhnya kami Telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus. Dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).”

(al-Fath: 1-3)

Peristiwa ini berlaku apabila Bani Bakr dalam naungan Quraisy bertindak menyerang Bani Khuza’ah dalam naungan Islam pimpinan Rasulullah S.A.W. Serangan Bani Bakr dibantu pihak kafir Quraisy. Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang Islam kerana dengan pertolongan itu, pihak Quraisy melanggar Perjanjian Hudaibiah yang dipersetujui mereka dengan pihak Islam. Lebih-lebih lagi, serangan itu menyebabkan berpuluh-puluh orang daripada Bani Khuzaah terbunuh. Menurut catatan sejarah, hampir 20 orang terbunuh dalam serangan itu.

Oleh kerana serangan itu dibantu pihak Quraisy, maka ’Amru bin Salim bersama rakannya daripada Bani Khuza’ah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah S.A.W. Apabila pihak Quraisy mendengar permintaan Bani Khuza’ah kepada Rasulullah, mereka begitu menyesal. Mereka lalu menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Baginda untuk merayu dan memohon maaf di atas tindakan itu. Namun, Rasulullah S.A.W dan para Sahabat tidak menghiraukannya. Dengan keputusan itu, Abu Sufian pulang dengan perasaan hampa dan kecewa ke Makkah. Oleh kerana Perjanjian Hudaibiah dilanggar pihak Quraisy, maka Rasulullah S.A.W menyiapkan tentera Muslimin dengan jumlah mencecah hingga 10,000 orang berangkat ke Makkah.

Keberangkatan Rasulullah S.A.W dan para Sahabat ke Makkah telah dijangka oleh pihak Quraisy. Catatan sejarah menjelaskan bahawa Sahabat Baginda S.A.W dapat mematahkan cubaan Hatob untuk mengutuskan surat ke Makkah bagi memaklumkan keberangkatan Muslimin. Apabila Hatob dihadapkan kepada Rasulullah S.A.W, beliau menjelaskan bahawa tujuan mengutus surat ke Makkah melalui seorang wanita untuk memaklumkan kepada keluarganya mengenai keberangkatan Muslimin dan bukan berpaling tadah atau murtad. Alasan ini diterima Rasulullah S.A.W kerana beliau adalah salah seorang pejuang di medan Badar yang Allah janjikan dengan keampunan. 

Setibanya Rasulullah S.A.W di Makkah, orang Islam berjaya memasukinya tanpa tentangan sengit. Beberapa pertempuran berlaku, namun ia dapat dipatahkan oleh Khalid Ibn Walid R.A dan Sahabat lain. Apabila Rasulullah S.A.W memasuki kota itu, Baginda bertindak menghancurkan berhala di sekeliling Kaabah sebagai simbol berakhirnya perbuatan syirik menyembah berhala di Makkah. Pihak Islam juga memberi layanan amat baik kepada orang Quraisy. Daripada peristiwa ini, dapat diperhatikan juga beberapa tindakan Rasulullah kepada orang kafir.

Pertama, ketika menandatangani Perjanjian Hudaibiah, Rasulullah S.A.W dan Islam dalam situasi kuat . Namun Baginda dan pihak Islam tidak mencabuli perjanjian itu, malah menghormatinya. Tetapi apabila perjanjian itu dicabuli oleh pihak musuh maka Rasulullah S.A.W mengambil tindakan yang tegas. Tindakan ini melihatkan Islam adalah agama yang menepati perjanjian. Sebaliknya musuh Islam seringkali melakukan pencabulan terhadap perjanjian yang mereka buat.

Kedua, tindakan Rasulullah S.A.W memberi kemaafan kepada orang kafir Quraisy ketika pembukaan Makkah adalah langkah tepat bagi menarik mereka kepada ajaran Islam. Walaupun sebelum ini mereka menindas, menyeksa dan membunuh orang Islam.

Hal ini menunjukkan Islam menjaga keamanan sejagat dan tidak memperlakukan musuhnya kerana dendam. Segala tindakan berdasarkan kepada lunas yang digariskan syarak.

Daripada peristiwa ini, jelas bahawa Ramadan bukanlah bulan yang menyebabkan umat Islam lemah. Sebaliknya, ia bulan yang meniupkan semangat berjuang untuk melawan musuh sama ada berbentuk dalaman seperti memerangi hawa nafsu atau musuh luaran yang sentiasa berusaha untuk menghancurkan umat Islam melalui pelbagai cara sama ada peperangan mahupun serangan pemikiran.

Firman Allah Taala:

إِذَا جَاۤءَ نَصْرُ اللّٰهِ وَالْفَتْحُۙ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُوْنَ فِيْ دِيْنِ اللّٰهِ أَفْوَاجًاۙ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُۗ إِنَّهٗ كَانَ تَوَّابًا


Apabila Telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya dia adalah Maha Penerima taubat.”

(an-Nashr: 1-3)

ZURIDAN MOHD DAUD AT-TEMINIE – HARAKAHDAILY 21/4/2022

- Advertisement -