Lailatul Qadar satu anugerah

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH kita sudah berada di pertengahan Ramadan dan kita menuju ke penghujung Ramadan yang makin kita tahu bahawa wujudnya kelebihan antaranya anugerah Allah S.W.T iaitu Lailatul Qadar. Lailatul Qadar ini telah disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran mengenai kelebihannya yang lebih baik daripada 1,000 bulan. 

- Advertisement -

Ia berdasarkan firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Qadr, ayat 1-3:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan,” 

Sibukkan diri dengan ibadah

Kita semua mengetahui bahawa bulan Ramadan ini merupakan bulan yang penuh kelebihan. Namun Allah anugerahkan lagi dengan hanya satu malam (Lailatul Qadar) mendapat ganjaran melebihi 1,000 bulan, dan ianya berada di penghujung Ramadan.  

Dalam Hadis Nabi S.A.W, daripada Jabir bin Samurah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا

“Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.” 

[Riwayat Ahmad, no. Hadis 85]

Jika disoroti Sirah Nabi, Rasulullah S.A.W sendiri apabila berada di pengakhir dan penghujung Ramadan, Baginda memperbanyakkan lagi ibadah untuk mencari kelebihan yang Allah S.W.T anugerahkan. Jadi ini sepatutnya yang diambil oleh kita umat Islam yang memahami kelebihan ataupun anugerah Allah (Lailatul Qadar) yang telah diberikan kepada kita ini. 

Akan tetapi, kebanyakan umat Islam hari ini yang menyibukkan diri dengan suasana untuk menyambut Aidilfitri. Seperti yang kita biasa lihat, di malam-malam akhir Ramadan, saf di masjid surau semakin lengang, tidak seperti di awal Ramadan. 

Apa tindakan kita?

Pasti ada yang tertanya, apakah yang mesti kita lakukan untuk mendapatkan kelebihan malam Lailatul Qadar ini? Marilah sama-sama kita renungi sebuah kisah. Seorang Sahabat Nabi S.A.W bertanya kepada Baginda mengenai apakah amalan yang besar untuk menghadapi Lailatul Qadar? Jawab Baginda, memperbanyakkan doa:

“اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى”

“Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang, yang suka dan cintakan kepada keampunan, ampunilah aku.”

Mohon keampunan Allah S.W.T 

Muslimin Muslimat yang dikasihi Allah sekalian, 

Doa ini amat pendek dan ringkas, tetapi sangat besar maknanya iaitu keampunan Allah. Amat rugilah jika kita keluar dari bulan Ramadan tanpa mendapat keampunan Allah S.W.T. Mungkin sebahagian daripada kita menganggap keampunan daripada Allah S.W.T adalah satu perkara biasa, sedangkan ia merupakan sesuatu yang sangat besar. 

Pengampunan Allah akan menyebabkan kita bersih daripada dosa dan kita akan bertemu dengan Allah dalam keadaan bersih. Jadi, banyakkanlah kita membaca doa tersebut terutamanya pada 10 malam akhir Ramadan di samping kita melakukan amalan-amalan yang lain. 

Mudah-mudahan kita mendapat Lailatul Qadar kerana kemungkinan Lailatul Qadar yang kita dapat ini adalah yang terakhir buat kita. 

USTAZ MD SALLEH SAID
Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun
Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Hulu Kinta – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -