Juadah berbuka untuk jiran tetangga

- Advertisement -

DALAM risalah Al-Tathawwu’ Fi Ith’ām Al-Tha’ãm tulisan Muhamed Asbi’an Al-Thanaji menyebut bahawa antara amalan yang sangat disukai Allah S.W.T di bulan Ramadan ini ialah memberi makanan berbuka kepada jiran tetangga:

- Advertisement -

ومن صور الإطعام الإهداء إلى الجيران فذلك مما يقوي الروابط بين الجيران ويعزز المودة بينهم، وإطعام الفقراء والمحتاجين والمساكين من أحب الأعمال إلى رب العالمين. وإطعام الطعام لا يقتصر على الإنسان، بل يتعداه إلى الطير والحيوان وسائر المخلوقات.

“Di antara bentuk memberi makan ialah menghadiahkannya kepada jiran, yang demikian itu dapat mengeratkan hubungan antara jiran tetangga dan meningkatkan rasa kasih sayang sesama mereka. Selain itu juga, memberi makan kepada orang-orang fakir, orang-orang yang sangat memerlukan bantuan dan golongan miskin adalah termasuk daripada amalan yang paling disukai Allah S.W.T, Tuhan sekalian alam. Bahkan memberi makan makanan tidak terhad hanya kepada manusia, tetapi juga kepada burung, binatang dan semua makhluk lain”.

Jiran tetangga yang miskin mesti diberi perhatian dan sempena Ramadan ini gembirakanlah mereka khasnya dengan memberi juadah makanan berbuka. Begitulah kehidupan para Salafussoleh terdahulu, sentiasa berbuat kebajikan kepada orang miskin, umpamanya Abdullah bin Umar R.A beliau tidak berbuka puasa melainkan mencari fakir miskin berbuka bersamanya.

Kita juga boleh menghidupkan suasana bertukar juadah berbuka walau hanya juadah ringkas demi mengeratkan lagi hubungan kejiranan. Pada zaman canggih ini, elakkan daripada menunjuk-nunjuk aneka juadah berbuka puasa di media sosial sedangkan ramai lagi orang di luar sana yang tiada apa-apa untuk dimasukkan dalam mulut tatkala berkumandangnya azan maghrib. Dalam kita berlaku ihsan kepada insan, janganlah dilupai binatang peliharaan yang juga punyai hak ke atas kita.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 20/4/2022

- Advertisement -