Konsert Justin Bieber: Pendidikan saluran YADIM beri mesej bahaya hedonisme

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

- Advertisement -

HULU LANGAT: Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) akan mengambil beberapa tindakan sesuai bagi menyedarkan masyarakat Islam di negara ini agar menjauhkan diri daripada terjebak budaya hedoisme.

Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hasan berkata, antaranya melalui saluran pendidikan bagi membuka mata orang ramai tentang budaya yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Menurut beliau, masyarakat perlu mengambil pengajaran daripada musibah pandemik Covid-19 yang berlaku di negara, bahkan seluruh dunia.

“Dulu kita telah diuji oleh Allah dengan pandemik Covid-19 dua tahun, dalam tempoh dua tahun itu saya tengok kerajaan banyak membatalkan aktiviti hiburan kerana ingin memastikan umat Islam fokus berdoa dan mendekatkan diri pada Allah supaya diangkat musibah ini.

“Jadi saya harap jangan apabila musibah itu semakin berkurangan, maka kita membiarkan rakyat dan masyarakat kita kembali dalam kelekaan, jadi tak kira sewaktu ada musibah ataupun sewaktu aman, kita tetap konsisten dengan sikap kita supaya kita tidak berada dalam keadaan leka dan lalai,” katanya ketika diminta mengulas berhubung konsert Justin Bieber yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada Oktober ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Ihya’ Ramadan Memperingati Badar al-Kubra, dekat Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH), di sini, semalam.

Bagaimanapun menurut beliau, Islam tidak menyekat umatnya mencari hiburan selagi mana tidak keluar daripada batas syarak dan tidak lalai daripada melaksanakan perintah agama.

“Tetapi kalau sekiranya watak atau figura yang datang menghiburkan itu adalah watak yang dari segi akhlak dan moralnya adalah suatu yang bercanggah dan bertentangan dengan islam, kemudian majlis yang dianjurkan pula nanti bergaul bebas lelaki dan perempuan semua sekali, maka ini adalah suatu perkara yang tidak sewajarnya,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 19/4/2022

- Advertisement -