Bakar al-Quran cetuskan kemarahan umat Islam

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

HULU LANGAT: Perbuatan biadab seorang pemimpin parti politik di Sweden yang membakar senaskah al-Quran disifatkan keterlaluan serta hanya mencetuskan kemarahan umat Islam.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Ustaz Nasrudin Hasan, berkata tindakan provokasi ini akan menimbulkan ketegangan antara agama dan seterusnya akan menjadikan suasana tidak aman dan harmoni.

- Advertisement -

“Ini soal agama, soal yang sangat sensitif, kenapa perlu kita nak merosakkan kepercayaan dan keyakinan agama lain, bahkan Islam itu diajar supaya kita tidak menghina agama tuhan-tuhan lain.

“Walaupun pada kita, Islam adalah agama yang benar tetapi kita tetap diajar supaya tidak menghina agama lain, tuhan-tuhan yang mereka sembah kerana kelak akan beri implikasi yang negatif kepada ajaran Islam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Ihya’ Ramadan Memperingati Badar al-Kubra, dekat Institut Latihan Dakwah YADIM (INDAH), di sini, semalam.

Justeru katanya, masyarakat dunia perlu disedarkan kefahaman berkaitan sensitiviti agama yang tidak boleh dipermainkan mana-mana pihak.

“Pihak berautoriti dalam kalangan umat Islam mesti mengambil satu tindakan yang tegas supaya dapat memberi penjelasan yang tepat dan betul kepada masyarakat dunia.

“Ini menjadi cabaran bagi kami di YADIM untuk memperkasakan lagi dakwah, nampaknya disitu satu perkara yang boleh kami ambil ialah untuk melestarikan gerakan dakwah Islam ini bukan sekadar di Malaysia bahkan di peringkat antarabangsa supaya mereka memahami apa sebenarnya tentang sensitiviti beragama di antara satu dengan yang lain.

“InshaAllah mungkin kita boleh anjurkan dialog-dialog di peringkat antarabangsa selepas daripada ini, inshaAllah kita doakan semoga Islam terus terpelihara,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstrem seorang pemimpin parti politik berhaluan kanan anti-Islam di Sweden yang membakar senaskhah al-Quran, Khamis lalu.

Pemimpin kelahiran Denmark yang berusia 40 tahun itu pernah mencetuskan kemarahan umat Islam sebelum ini apabila membakar al-Quran di Malmo, sebuah kota di selatan Sweden pada 2020.

Menurut kenyataan Wisma Putra, perbuatan keji sedemikian sudah melampaui batasan dan garis norma hak kebebasan bersuara termasuk dalam isu pelaksanaan amalan beragama. – HARAKAHDAILY 19/4/2022

- Advertisement -