Warisan Nasi Kukus jual 1,300 bungkus sehari

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Warisan Nasi Kukus membuat promosi amal sempena Ramadan iaitu beli dua percuma dua. Ia juga sempena pembukaan kedai baru berhampiran simpang empat Wakaf Mek Zainab.

Pemiliknya Mohamad Kamal Ahmad Zukhi, 44, berkata usaha tersebut merupakan sebahagian aktiviti kebajikan untuk disedekah kepada kedua-dua arwah orang tua.

Katanya promosi tersebut hanya hari ini dibuat bagi menghargai pelanggan setia ketika berniaga di Dataran Cheng Ho, Jalan Kebun Sultan.

- Advertisement -

“Memandangkan bulan Ramadan kami juga berhasrat untuk bersedekah, bantu golongan memerlukan dan saya berniat untuk hadiahkan pahala kepada kedua ibu bapa saya.

“Sempena hari pertama operasi kedai ini bagi meraikan pelanggan dengan beli dua percuma dua,” katanya ketika ditemui di premis barunya berhampiran simpang Wakaf Mek Zainab di sini hari ini.

Mohamad Kamal mulai berniaga sejak 20 tahun lalu di Jalan Kebun Sultan. Beliau mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ketika usia 17 tahun.

Menurutnya selepas menamatkan pengajian Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) beliau belajar berniaga bagi mewarisi perniagaan keluarganya.

“Sebelum kedua orang tua meninggal saya cuba mengorak langkah untuk berdikari dan memulakan perniagaan sendiri dengan mengusahakan nasi kukus.

“Yang paling istimewa resepi daging rendam yang diolah dan dihasilkan ayah dan ibu saya. Selepas itu diperkenalkan sambal udang besar dan sotong,” katanya.

Kata beliau setiap hari sebanyak 1,300 nasi kukus dijual. Setiap bungkus sekarang berharga RM7.50 dengan mengambil kira harga bahan mentah tidak menentu kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -