Kerajaan sentiasa bersedia urusan haji, tunggu kuota dimaklumkan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

HULU LANGAT: Kerajaan sentiasa bersedia dalam pengurusan bakal jemaah haji dan hanya menunggu kuota haji diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama (HEA), Datuk Idris Ahmad, berkata persiapan seperti logistik, penginapan hotel dan kemudahan lain semuanya sudah tersedia.

Katanya, jangkaan awal kuota haji itu akan diberikan pada awal Ramadan, namun kerajaan menghormati keputusan Arab Saudi itu dan menganggap kemungkinan mereka juga sedang berdepan perkara lain dalam menguruskan jemaah haji.

“Kuota Haji, setakat ini tiada yang official lagi. Kita doakan dapat dimaklumkan dengan awal supaya mudahkan perancangan pengurusan haji kita di sini.

“Dari aspek persiapan, Tabung Haji sendiri memang sudah lama bersedia. Sejak pulang jemaah haji yang lalu, Tabung Haji terus mengadakan persiapan untuk jemaah haji seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media majlis penyampaian sumbangan kepada Rumah Jagaan Warga Emas Al-Fattah, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis sama, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Ras Adiba Radzi.

Dalam majlis sama, Idris menyampaikan bantuan sebanyak RM20,000 dan barangan makanan bernilai RM2,500 kepada Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah.

Sementara itu katanya, sebanyak RM8.5 juta sumbangan diterima untuk Tabung Musa’adah Covid-19 sudah diagihkan kepada 109,995 penerima yang layak, sehingga Mac lalu.

Katanya, bantuan tersebut merangkumi bantuan untuk mangsa banjir, rumah terbakar, dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -