Rakan kongsi atau pokok kayu?

- Advertisement -

TENGAHARI kelmarin saya telah turun ke Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang menjadi perhatian media kerana kawasan tersebut akan dibangunkan oleh pemaju. Beberapa deretan rumah teres dan beberapa blok pangsapuri PKNS akan diambil alih. Menurut berita, terdapat bantahan dari penduduk tempatan terhadap penyelesaian dan pampasan untuk penduduk.

- Advertisement -

Saya berpendirian di dalam sebarang pembangunan semula, penduduk tempatan i.e. pemilik kediaman perlu dilihat sebagai rakan kongsi di dalam pembangunan. Mereka tidak boleh dianggap sebagai halangan-halangan seperti pokok kayu atau semak-samun yang perlu dibuang untuk pembangunan baharu. Sebarang pembayaran atau pampasan perlu berdasarkan kefahaman tersebut dan bukan di atas dasar simpati. Sudah tentu penyelesaian di atas dasar rakan kongsi adalah berbeza dari penyelesaian di atas dasar simpati.

Pemaju mungkin akan mengeluarkan modal yang besar untuk memajukan pembangunan yang baharu tetapi kediaman-kediaman penduduk asal juga mesti dilihat sebagai modal. Mungkin ramai yang tidak setuju dengan hujah saya tetapi perkara yang sama berlaku di dalam pertembungan di antara golongan kapitalis dan golongan pekerja sejak abad ke-19. Golongan kapitalis mengeluarkan modal tetapi golongan pekerja juga berkata mereka turut mengeluarkan modal kerana tenaga mereka dan tulang empat kerat mereka adalah juga modal yang perlu diambil kira.

Saya masih ingat ketika saya adalah ADUN di mana 80 buah rumah teres di Taman Bakti, Pandan dicadangkan diambil alih untuk membesarkan jalan masuk dari sebuah lebuhraya ke MRR2. Ramai penduduk membantah dan saya sebagai YB menyokong mereka. Walaupun mereka akan dibayar pampasan tetapi adakah pampasan yang dibayar akan dapat membeli kediaman yang sepadan dengan kediaman asal mereka? Rumah mereka di tengah bandar dan kemungkinan besar dengan pampasan yang dibayar, mereka hanya akan mampu membeli kediaman di kawasan yang ‘hulu’ sahaja. Akhirnya pengambil alihan itu tidak diteruskan. Tetapi ketika itu saya adalah Exco dan suara saya didengari.

Bagi mereka yang suara mereka didengari, tolonglah bercakap. Saya boleh bercakap ‘without fear or favour‘ tetapi tanpa ada jawatan di dalam kerajaan, sama ada besar atau kecil, suara saya mungkin tidak relevan. Saya berdoa agar lebih ramai pemimpin politik akan mengambil perhatian terhadap isu ini dan akan membantu. Semoga penyelesaian menang-menang dapat dicapai untuk penduduk Kampung Sungai Baru.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)  – HARAKAHDAILY 19/4/2022

- Advertisement -